JOSE Mourinho berkata Marcus Rashford kelihatan seperti budak naif selepas diperintah keluar padang kerana menanduk Phil Bardsley ketika Manchester United menang ke atas Burnley, Ahad malam. Rashford, 20, menerima kad merah pertama dalam kariernya selepas insiden di Turf Moor itu. Dengan Manchester United sudah mendahului dengan 2-0, Rashford dilihat bergaduh dengan Bardsley. Bardsley kelihatan memulakan provokasi dengan menyepak Rashford. Sementara Bardsley menerima kad kuning, Rashford pula diperintah keluar padang, meninggalkan United dengan hanya 10 pemain ketika perlawanan berbaki 10 minit. "Saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya akan kata dia naif. "Ia ibarat pergaduhan antara budak-budak dengan lelaki berpengalaman. Bardsley beraksi selama 20 tahun manakala Marcus adalah budak naif," kata Mourinho. Penyerang Belgium, Romelu Lukaku meletak United di depan menerusi tandukannya pada minit ke-27. Dia turut menggandakan jaringan sebelum tamat separuh masa pertama. Paul Pogba pula terlepas sepakan penalti pada babak kedua tetapi keputusan itu sudah cukup buat United untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan.