suria

Pogba akui bakal tinggalkan Old Trafford

PAUL Pogba mengesahkan dia akan meninggalkan Manchester United pada Januari 2019.

Hubungan pemain tengah itu dengan Jose Mourinho dilaporkan semakin dingin.

Selepas kembali ke Old Trafford dari Juventus pada 2016, Pogba meluahkan rasa kecewa untuk terus kekal bersama kelab itu selepas bertelagah dengan Mourinho.

Pogba terdesak untuk berhijrah ke Barcelona sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup bulan lalu dan terbaharu dia mengesahkan bakal meninggalkan pasukan itu pada awal tahun depan.

"Terdapat banyak cakap-cakap tetapi ia kekal begini. Saya masih ada kontrak dengan United.

"Masa depan saya masih bersama United, saya beraksi di sini buat masa ini tetapi siapa tahu apa yang akan berlaku beberapa bulan lagi.

"Satu perkara saya boleh beri jaminan kepada anda: Saya akan sentiasa memberikan 100 peratus, tidak kira siapa sahaja jurulatih untuk United," katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Mourinho, Pogba mengambil pendekatan berdiam diri.

"Kami ada hubungan sebagai jurulatih dan pemain, itu yang sebetulnya," katanya.

Meskipun timbul khabar angin mengaitkan Pogba bakal berhijrah ke Barcelona, Luis Suarez amat mengalu-alukan kehadirannya ke Nou Camp.

"Pogba pemain elit yang memenangi segala-galanya.

"Dia ada banyak kualiti. Dia bukan pemain yang jadi milik Barca tetapi kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu," katanya.

Paul Pogba, Jose Mourinho

Artikel Lain