WESLEY Sneijder penuh emosi selepas melengkapkan penampilan ke-134 dan terakhir bersama pasukan Belanda pada Khamis. Pemain tengah Oranje berusia 34 tahun itu memberitahu, dia menikmati setiap saat berada di atas padang. Sneijder mengumumkan persaraannya di pentas antarabangsa selepas kemenangan 2-1 kepada Peru pada aksi persahbatan di Amsterdam pada Khamis. Sneijder antara pemain penting dalam skuad Belanda sebelum ini dengan membantu pasukan naib juara Piala Dunia 2010. "Saya sedar semuanya sudah berakhir. Tetapi saya gembira kerana mendapat peluang bermain buat kali terakhir. "Saya boleh mengucapkan selamat tinggal dengan suasana yang sangat hebat," ujarnya. Ketiadaan Sneijder dalam skuad Belanda kemungkinan akan diisi pemain muda Memphis Depay, 24. "Secara simbolik saya menyerahkan jersi kepada Depay. "Dia mendapat jersi terakhir saya. Dia telah menunjukkan kebolehannya. Saya harap dia akan terus dengan caranya itu," katanya.