PEMAIN sensasi, Lionel Messi memecah rekod sebagai pemain bukan Sepanyol yang paling kerap membuat kemunculan dalam La Liga. Messi membuat kemunculan ke 423 pada Ahad sewaktu menentang Girona, sekaligus mengatasi rekod yang dipegang oleh Dani Alves selama ini. Menerusi kemunculan itu, dia turut membantu pasukannya apabila menyumbang jaringan pembukaan. Sepanjang 14 tahun bermain dalam liga itu, dia telah menjaringkan 380 gol. Biarpun menampilkan prestasi memberangsangkan musim ini, pemain berusia 31 tahun itu nampaknya tidak tersenarai dalam finalis anugerah Pemain Terbaik FIFA. Antara nama yang berjaya mengenepikan Messi dalam merebut anugerah itu ialah Luka Modric, Cristiano Ronaldo dan Mohamed Salah. Pengkritik menyifatkan prestasi hambar Messi di Piala Dunia Russia baru-baru ini sebagai punca dia gagal menempatkan diri dalam barisan calon anugerah itu. Sepanjang kerjayanya, Messi sudah memenangi lima Ballon d'Or, berkongsi kedudukan dengan seteru utamanya, Ronaldo. Messi kini dikatakan berusaha untuk membuktikan bahawa dia masih lagi antara pemain bola sepak terbaik di dunia- Goal.Com.