PETALING JAYA: Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Kali Ke-64 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu. Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata perubahan tarikh terpaksa dilakukan kerana Kelantan akan bertemu Sabah di Likas pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, malam Sabtu. "Kita terpaksa tunda kerana ada game pada hari itu. Buat masa ini belum ada tarikh baharu. Kita akan maklumkan kelak," katanya kepada mStar Online. Terdahulu, Bibi memberitahu kongres tersebut bakal menyaksikan pemilihan dua muka baharu bagi mengisi kerusi naib presiden yang dikosongkan Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim. "Pemilihan dicalonkan oleh Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ). Jadi saya harap PBJ dapat mencalonkan individu yang sanggup membantu Kafa dari pelbagai sudut," katanya. Mohd Aizuddin dan Nik Izani sama-sama meletakkan jawatan akhir Julai lalu atas alasan tidak mampu memikul tanggungjawab selain mengakui tidak dapat memberi sumbangan ke arah pembangunan bola sepak Kelantan. Muhammad Haikal Mohamad Nazri. Dalam perkembangan berasingan, Bibi mengesahkan pemain sayap Kelantan, Muhammad Haikal Mohamad Nazri tidak akan memperkuat skuad Kijang itu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan. Beliau berkata pemain berusia 25 tahun itu mencapai kata sepakat dengan Kafa untuk ditamatkan kontrak lebih awal. "Haikal ada kontrak dua tahun bersama Kafa tapi kita buat keputusan tamatkan lebih awal atas persetujuan bersama," katanya. Menurut Bibi, keputusan tersebut dibuat bagi membolehkan Haikal mendapat peluang beraksi bersama pasukan lain. "Terima kasih kerana bersama Kafa. Selamat maju jaya," katanya.