suria

Teong Kim mahu PPBN diteruskan

KUALA LUMPUR: Percubaan pertama skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) untuk meraih tiket ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun 2019 tidak kesampaian apabila tersingkir dari saingan Piala AFC Bawah 16 Tahun pada Khamis.

Pada aksi terakhir Kumpulan A, skuad muda negara bimbingan Lim Teong Kim tewas 2-0 kepada Jepun. Dengan keputusan dua kalah dan satu kemenangan, pasukan negara terpaksa akur tewas pada kejohanan kali ini.

Biar pun tewas, Teong Kim menegaskan kejohanan ini bukan hanya perlu dilihat dari segi sekadar keputusan, sebaliknya prestasi pemain-pemain.

“Mereka cuba bersungguh-sungguh selepas ketinggalan satu gol dan tidak berputus-asa.

“Seperti mana yang kita tahu, Jepun sangat kuat dari segi taktikal dan teknikal.

“Tetapi kita tetap memberi tempoh sukar untuk mereka menjaringkan gol.

“Pada pandangan saya, berdasarkan keputusan perlawanan ia bukan positif, tetapi gembira dari segi prestasi ,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.

Bagaimanapun bekas jurulatih remaja Bayen Munich itu mengakui PPBN berada dalam landasan yang betul untuk meneruskan program pembangunan bola sepak.

“Sudah tentu kami mahu menang. Tetapi ini percubaan pertama selepas empat tahun. Banyak perkara yang perlu kita kejar berbanding dengan pasukan lain.

“Anda tanya pasukan Jepun, sejak bila mereka mula adakan program pembangunan?

“Jika tanya saya, memang program pembangunan ini perlu diteruskan dan bermula dari awal sehingga sukses.

“Kejohanan ini ada percubaan pertama dan sasaran jangka pendek untuk layak (Piala Dunia B-17), manakala jangka panjang pula ialah ke pasukan kebangsaan,” katanya.

Sebagai rekod, Pelan PPBN bagi Fasa Pertama bermula 2014-2020 telah meletakkan sasaran untuk layak ke Piala Dunia Remaja Bawah 17 tahun depan.

PPBN Fasa Pertama ini mengandungi sasaran yang jelas dan terperinci dan di akhir fasa ini nanti, landskap program pembangunan bola sepak dijangka bakal berubah dengan penambahbaikan.

Manakala untuk rekod kejohanan Piala AFC ini, skuad negara menang 6-2 ke atas Tajiistan, tewas 4-2 kepada Thailand 2-0 kepada Jepun bagi aksi keseluruhan kumpulan.

skuad b16

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain