KUALA LUMPUR: Impian Malaysia melakar sejarah melayakkan diri ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) 2019 musnah apabila tersingkir daripada saingan Kejuaraan Bawah 16 Tahun (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 selepas tewas 0-2 kepada Jepun pada aksi terakhir Kumpulan A, Khamis. Skuad kendalian Ketua Jurulatih, Lim Teong Kim itu gagal mara ke pusingan suku akhir selepas sekadar menamatkan saingan kumpulan di kedudukan terakhir dengan mengutip tiga mata hasil satu kemenangan ke atas Tajikistan dan dua kekalahan. Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil yang disaksikan lebih 8,000 penyokong, Malaysia bermula baik apabila berjaya menguji kubu pertahanan lawan menerusi beberapa gerakan menarik. ARTIKEL BERKAITAN: Piala AFC B-16: Aksi Malaysia-Jepun ditunda pada Khamis, masuk percuma! Malaysia berpeluang menjaringkan dua gol menerusi percubaan Muhammad Alif Mutalib pada minit ke-19 diikuti Harith Naem Jaineh (minit ke-26), namun gagal menewaskan penjaga gol Jepun, Taiki Yamada. Sebaliknya, Jepun yang lebih berhati-hati sejak perlawanan bermula berjaya memanfaatkan kesilapan pertahanan negara untuk mendapatkan gol pertama pada minit ke-37 menerusi tendangan Shoji Toyama untuk Jepun mendahului 1-0 sehingga rehat. Pemain Skuad Bawah 16 (B-16) Jepun Handa Riku (kanan) bersaing dengan pemain Malaysia Muhammad Najmudin Akmal. - Bernama Jepun menggandakan jaringan hasil sepakan jarak jauh Hikaru Naruoka yang terkena palang gol sebelum melantun ke bawah dan terkena kaki penjaga gol Malaysia sebelum masuk ke dalam gawang, sekali gus mengesahkan kemenangan skuad muda ‘Samurai Biru' itu, pada masa kecederaan separuh masa kedua. Dalam pada itu, mengiringi Jepun ke suku akhir adalah Tajikistan selepas menang tipis 2-1 ke atas Thailand pada satu lagi aksi terakhir kumpulan A di Stadium Arena Universiti Malaya. Ozodbek Panzhiev menjaringkan gol untuk Tajikistan pada minit ke-39 setelah percubaannya gagal ditampan kemas oleh penjaga gol Thailand, Anuchid Taweesri sebelum bola bergolek masuk ke dalam gawang Thailand. Skuad muda Thailand berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 menerusi sepakan percuma penyerang berbisanya, Suphanat Mueanta, namun Tajikistan mengesahkan tiket ke suku akhir hasil tandukan Amadoni Kamolov, selang tiga minit kemudian. Ia merupakan kemenangan sulung diraih Tajikistan pada kempen kali ini setelah kalah 2-6 kepada Malaysia selain seri tanpa jaringan berdepan Jepun pada dua aksi terdahulu. - Bernama