BEKAS pembantu utama Jose Mourinho di Manchester United mendedahkan minatnya untuk memikul tugas No. 1. Rui Faria meninggalkan Old Trafford musim lalu dan Mourinho meneruskan tugas tanpa pembantu utamanya itu buat kali pertama dalam tempoh 17 musim. Mourinho sentiasa bergandingan dengan Faria sejak membawanya dari Porto ke Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan United. "Saya ada semangat untuk terlibat dalam pengurusan. Menjadi pembantu sejak bertehun-tahun, bekerja dengan pengurus terbaik, di kelab terbaik dunia bersama orang yang hidup dengan bola 24 jam seperti Mourinho, anda akan terpengaruh ingin menjadi ketua, mulakan projek dan jurulatih. "Saya tidak boleh menjadi pembantu kepada orang lain," jelasnya kepada The Times. Selepas meninggalakan Mourinho, Faria melihat kawan baiknya itu melalui musim sukar, menjadi bualan dan turut bertelagah dengan bintang pemain tengah Paul Pogba. "Mourinho mungkin satu-satunya pengurus apabila menguruskan kelab yang akan meletak permintaan ke atasnya untuk kejayaan. "Pengurus di kelab-kelab lain boleh berada di sana untuk tempoh empat atau lima tahun tanpa memenangi sebarang kejayaan, dan orang seperti itu akan gembira dengan pencapaian kepada kelab," ujarnya.