PENYANDANG juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menundukkan Pahang 2-0, malam Sabtu. Kemenangan itu menyaksikan Skuad Harimau Selatan melenyapkan harapan Tok Gajah untuk mara ke pusingan seterusnya dengan kelebihan aggregat 3-1. Dalam aksi yang berlansung di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin itu, penyerang JDT, Safawi Rasid muncul wira pasukan selepas meledak kedua-dua gol buat tuan rumah. Bintang muda JDT itu turut menampilkan aksi bertenaga dan mengejutkan apabila membantu tuan rumah memperoleh jaringan sulung kurang daripada minit pertama permainan dimulakan. Belum sempat pelawat cuba memberikan tentangan, penyerang JDT, Hazwan Bakri kemudiannya sekali lagi menguji gawang lawan apabila rembatan derasnya gagal disekat penjaga gol namun diselamatkan palang. Pahang bagaimanapun tidak mudah mengaku kalah apabila kembali melancarkan serangan balas di bahagian sayap kanan menerusi Mohamadou Sumareh, tetapi bijak dibaca Corbin Ong yang berada di posisi pertahanan. Peluang Tok Gajah untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit terakhir babak pertama perlawanan apabila Norshahrul Idlan Talaha berjaya menghalang bola daripada Farizal Marlias yang dilihat tidak bersedia. Bagaimanapun, bola dihadang bekas pemain Terengganu itu melambung sedikit tinggi dari palang atas gawang JDT. Bermula babak kedua, skuad kendalian Dollah Salleh dilihat semakin tidak menjadi apabila gagal melancarkan serangan berbahaya ke arah kubu lawan. Pertukaran yang dilakukan pada babak kedua dengan membawa masuk Muhd Zuhair Aizat Mohd Nazri menggantikan Amamchi Iwuji jelas tidak membawa sebarang impak terhadap aksi pasukan di atas padang. Jaringan Safawi pada minit ke-72 melengkapkan kemenangan JDT sekali gus menghampakan hasrat Tok Gajah yang memerlukan satu jaringan gol untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan. - Sinar Harian