PEMAIN dan kakitangan Manchester United secara terbuka berbincang mengenai kemungkinan Jose Mourinho dipecat dalam perjalanan pulang ke Old Trafford selepas tewas kepada West Ham, malam Ahad. Mourinho berdepan minggu yang mencabarkan di mana United sekadar terikat seri dengan Wolves, tersingkir di tangan Derby County pada aksi Piala Carabao dan kemudian tewas di Stadium London. Kelab itu kini menduduki tangga ke-10, ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Manchester City. Malah lebih buruk lagi, hubungan Mourinho dengan pemainnya sudah ditahap kritikal. Pemilihan pemain yang diturunkan ketika aksi menentang West Ham turut dikritik. Dan kini The Daily Mail melaporkan skuad United dan pasukan kejurulatihan percaya Mourinho mungkin dipecat dalam minggu ini. Pasukan itu pulang ke Manchester menggunakan kereta api dan masa depan Mourinho menjadi topik hangat yang dibualkan mereka sepanjang perjalanan tersebut. Mourinho dikatakan bermalam di London dengan kesemua skuad United kembali ke Manchester tanpa kelibatnya. - Metro.co.uk