KUALA NERUS: Pasukan Terengganu Football Club 1 (TFC 1) tidak gentar berdepan Perak pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 yang dijadual berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini. Ketua jurulatih TFC 1, Irfan Bakti Abu Salim berkata dengan persediaan rapi dan taktik sedang dirancang, ia pastinya bekalan yang cukup buat skuad Penyu untuk menentang skuad Seladang bagi merangkul kejuaraan piala berprestij itu musim ini. Beliau juga optimis anak buahnya mampu beraksi dengan baik pada perlawanan akhir tersebut, selepas menyingkirkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir. “Masing-masing tahu kekuatan dan kelebihan dimiliki. Kita tahu corak permainan Perak, begitu juga Perak tahu corak permainan kita. Bagi saya peluang untuk menang 50-50. “Alhamdulillah, setakat ini semua pemain dalam keadaan sangat bersedia dan tiada seorang pun menghadapi kecederaan. Kita sangat positif untuk beraksi di final,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan pasukan TFC 1 di Stadium Gong Badak dekat pada Rabu. Kali terakhir Terengganu menjulang Piala Malaysia ialah pada 2001 selepas menewaskan Perak 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.Ditanya sama ada akan merombak barisan pemain sebagai strategi menentang Perak, beliau berkata perkara itu akan diputuskan dalam tempoh dua hari lagi. “Kita mungkin memberi lebih fokus kepada penyerang Perak Gilmar (Filho), memang harus diawasi tetapi ini permainan berpasukan dan kita juga harus mengawasi setiap pemain mereka. “Kita juga mengharapkan tuah (untuk bergelar juara) bagi kali kedua bermain di Stadium Shah Alam selepas menentang Negeri Sembilan pada 2011,” katanya.- Bernama