SEJAK 10 tahun lalu, El Clasico menjadi gelanggang pertembungan dua bintang paling popular dalam sukan bola sepak iaitu Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo. Namun, Ahad ini, kedua-dua mereka tidak akan beraksi untuk pertemuan antara Barcelona dan Real Madrid di Nou Camp. Ia berikutan kecederaan Messi. Ronaldo pula sudah meninggalkan Real Madrid dan kini bermain untuk Juventus. Sepanjang 9 tahun bersama pasukan itu, Ronaldo mencatatkan 450 jaringan dengan 15 trofi termasuklah merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara sebanyak empat kali. Malah, perlawanan pada Ahad ini akan menjadi perlawanan pertama Clasico tanpa penampilan Ronaldo dan Messi sejak Disember 2007. Namun, yang menjadi persoalan, bintang manakah yang akan menyerlah tanpa kehadiran dua bintang utama itu? Real Madrid kini bukan sahaja bergelut tanpa Ronaldo malah kelihatan seolah-olah hilang arah setelah pemergian jurulatih Zinadine Zidane. Di Barcelona pula, mereka giat mencari pemain yang boleh menggantikan Messi. Malah, boss Barca, Ernesto Valverde juga tidak mempunyai jawapan bagi persoalan itu. "Saya tak tahu," ujarnya apabila ditanya mengenai pemain yang boleh menggantikan Messi sepanjag kecederaannya. Jordi Alba turut senada dengan Ernesto apabila disoal mengenai perkara itu. "Tiada siapa boleh ganti, dia pemain terbaik di dunia," ujarnya. - BBC.COM.