suria

Mohd Rashid tawar diri bertanding presiden KLFA

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur  (KLFA).

Mohd Rashid berkata minat yang mendalam terhadap sukan bola sepak mendorong beliau untuk menawarkan diri bertanding menerajui pasukan tersebut bagi tempoh lima tahun bermula 2018 hingga 2022.

"Saya telah diminta oleh banyak pasukan bola sepak di sekitar Kuala Lumpur (menjadi presiden) dan memang saya meminati bola sepak semenjak kecil serta pernah terpilih menjalani pemilihan bersama pasukan Selangor semasa menuntut di Maktab Tentera Diraja (RMC).

"Semasa saya menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dahulu, atas permintaan rakan-rakan, saya telah membantu pasukan Pulau Pinang dalam pertandingan Piala Emas Raja-Raja musim 2017 dan telah berjaya menjadi juara dengan menewaskan pasukan Kelantan," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, Isnin.

Mohd Rashid yang juga Anggota Parlimen Batu Pahat berkata beliau tekad untuk meneruskan legasi bekas Presiden KLFA terdahulu Tan Sri Eliyas Omar yang telah menjadikan pasukan itu sebagai satu nama yang besar dan digeruni pasukan lain.

“Mengambil kira antara kelab termuda dalam Liga Malaysia, KLFA atau turut dikenali sebagai The Hawks dengan presidennya yang terdahulu telah membawa satu kejayaan yang cukup baik.

"Perubahan yang ingin saya bawa adalah untuk mengumpulkan semua pemain lama di Kuala Lumpur bagi membantu pembangunan bola sepak Kuala Lumpur dan mengenal pasti pelapis-pelapis muda untuk menjadi pemain utama dalam KLFA,” katanya.

Pemilihan presiden KLFA akan diadakan pada 18 November manakala pencalonan bermula hari ini hingga 14 November.-Bernama

Datuk Mohd Rashid Hasnon, KLFA

Artikel Lain