suria

Syed Saddiq tak setuju Nik Nazmi tanding presiden KLFA, KJ kata OK!

Khairy Jamaluddin (kiri) dan Nik Nazmi.

PETALING JAYA: Berbeza dengan pendirian Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Khairy Jamaluddin menyokong tindakan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Meskipun Nik Nazmi merupakan penyokong tegar Liverpool, Khairy yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan berpandangan beliau merupakan calon terbaik untuk jawatan tersebut.

"YB @niknazmi adalah calon terbaik untuk Presiden KLFA. Walaupun dia menyokong Liverpool," tulisnya di Twitter pagi Jumaat.

Respon Khairy mendapat perhatian netizen sehingga ada yang bertanya sama ada kenyataannya itu hanyalah troll atau sindiran semata-mata.

"Hanya gurauan. Saya fikir @niknazmi akan melakukan yang terbaik untuk KLFA," kata Khairy yang juga penyokong tegar Manchester United.

Malah tweet Ahli Parlimen Rembau itu turut dipenuhi dengan komen penyokong Liverpool dan Manchester United.

Tweet Khairy turut mendapat perhatian penyokong Liverpool.

Pada Khamis, Nik Nazmi dalam satu kenyataan berkata, beliau mengambil menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut berdasarkan minat mendalamnya terhadap bola sepak dan keinginan memenuhi potensi KLFA sebagai persatuan yang lebih profesional dan berintegriti.

“KLFA tidak perlu diperkenalkan lagi terutamanya menerusi kecemerlangan pasukan bola sepak utamanya dan pembangunan bakat muda,” kata Nik Nazmi.

Malah beliau berkata Kuala Lumpur mencatat nama sebagai pasukan yang berjaya khususnya pada akhir 1980an, apabila menjuarai liga sebanyak dua kali, (tahun 1986 dan 1988), menjuarai Piala Malaysia tiga musim berturut-turut (1986-1988) dan johan Piala FA (1993, 1994 dan 1999).

“Kejayaan ini berkait rapat dengan pembangunan pelapis, di mana ramai bakat serta tunas yang dilahirkan dari kalangan anak-anak jati Kuala Lumpur sendiri. Maka, pembangunan pelapis seharusnya merangkumi projek pembangunan akar umbi yang holistik - sains sukan, pendedahan kepada jurulatih muda serta para pegawai teknikal," katanya.

Bagaimanapun, keputusan Nik Nazmi mendapat teguran Syed Saddiq yang berpendapat ahli Parlimen mahupun pihak kerajaan agar tidak lagi menerima lantikan bagi menerajui persatuan sukan di negara ini.

Khairy Jamaluddin, Nik Nazmi, KLFA

Artikel Berikut

Artikel Lain