PEMERGIAN pemilik Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha yang maut dalam nahas helikopter dua minggu lalu terlalu sukar diterima pemain pasukan itu. Paling terkesan dengan tragedi menyayat hati itu adalah James Maddison, 21, yang menyifatkan Srivaddhanaprabha sebagai seorang lelaki yang bijak. Maddison turut mendedahkan perkataan pertama yang disebut Srivaddhanaprabha sebaik sahaja dia menyertai Leicester dari Norwich dengan perpindahan bernilai 22 juta pound pada musim panas lalu. "Saya masih baru di sini dan kami melakukan sesi penggambaran ketika pengerusi tiba, peluk saya dan kata, 'Pemain No10 saya yang baharu... pergi dan jaring gol untuk saya James!'. "Saya fikir 'Saya suka lelaki ini!' Sama ada anda mengenalinya selama empat atau lima bulan atau 10 tahun, sebaik sahaja anda bertemu dengan Srivaddhanaprabha, anda akan tahu siapa dia sebenarnya. Dia seorang lelaki yang bijak," kata Maddison. James Maddison. Maddison berjaya memenuhi cabaran Srivaddhanaprabha yang mahu dia menjaringkan tiga gol dalam enam perlawanan sehingga menyebabkan dia dipanggil untuk memperkuat England. Burnley merupakan pasukan pertama yang akan bertandang ke Stadium King Power sejak kematian Srivaddhanaprabha. Pemain Leicester dilaporkan akan memakai baju kemeja yang disulam nama Srivaddhanaprabha pada aksi malam Sabtu. "Setiap hari saya masuk ke dalam padang ketika ini saya tahu sama seperti pemain lain. Saya akan melakukan segalanya untuk membuatkan Srivaddhanaprabha bangga. "Kami akan berusaha bekerja keras untuk memastikan apa yang dia mahu berlaku. "Srivaddhanaprabha sentiasa bertemu dengan pemain sebelum setiap perlawanan bermula dan memastikan dia bercakap dengan kami semua. "Sebelum pertemuan dengan West Ham dia datang ke bilik fisioterapi ketika saya sedang mendapatkan rawatan. Dia mahu saya jaringkan gol kerana saya gagal berbuat demikian dalam tiga perlawanan. Itu kata-kata terakhirnya kepada saya," kata Maddison. - The Sun