suria

Banyak persatuan sukan keliru jumlah bajet 2019, KBS digesa jelas situasi semasa

Krishnan(kanan) bersama Pengurus Jualan Antarabangsa, Christian Lechelmayr pada majlis memeprkenalkan koleksi beg terbaharu Deuters 2019.

PETALING JAYA: Perbelanjaan sukan Malaysia bagi tahun 2019 telah diumumkan bulan lalu, namun sehingga kini banyak persatuan sukan masih menunggu bajet yang akan dibahagikan itu.

Belanjawan 2019 menyaksikan peruntukan RM1 bilion  diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan ia tidak hanya menyasarkan bidang sukan sahaja, tetapi turut merangkumi agihan kepada pembangunan belia.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini memberitahu dari jumlah itu, RM100 juta diperuntukkan untuk persiapan atlet ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 manakala RM10 juta khusus kepada pembangunan e-Sukan.

Namun beberapa acara sukan lain yang bakal dipertandingkan tahun depan masih belum diumumkan termasuk Sukan SEA 2019 di Filipina.

Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Radha Krishnan memberitahu, banyak peruntukan telah dipotong oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan jumlah RM100 juta itu perlu dibelanjakan dengan berhati-hati.

"Tetapi sehingga kini kebanyakan persatuan masih keliru jumlah bajet yang akan diberikan kepada persatuan untuk persediaan kejohanan-kejohanan yang akan datang.

"Saya rasakan jalan terbaik untuk menghilangkan kekeliruan ini adalah menteri atau timbalan menteri sukan (Steven Sim) turun bertemu dengan semua persatuan dan menjelaskan situasi semasa.

"Ini kerana beberapa porgram utama seperti Program Podium, Kita Juara sudah tidak ada dan kami semua buntu," jelasnya ketika ditemui ketika majlis pelancaran koleksi terbaharu Deuters 2019.

Jelas Krishnan yang juga Presiden Persatuan barangan Sukan Malaysia, pihak kementerian perlu lebih cepat menyelesaian persoalan ini memandangkan hanya tinggal lebih kurang lapan bulan sebelum menjelang Sukan SEA 2019.

"Tidak boleh mengelak. Penjelasan perlu disampaikan lebih cepat kepada semua persatuan bagi melancarkan persediaan.

"Ini kerana kita tidak mahu pencapaian di Filipina nanti menurun. Sama ada kita pencapaian kita kekal atau lebih baik,"ujarnya.

Sebagai rekod Malaysia meraih 145 pingat emas pada KL 2017, Ogos lepas yang merupakan pencapaian terbaik sejak penyertaan pada edisi sulung Sukan SEA yang dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) pada 1959 di Bangkok, Thailand.

Selain  itu Krishnan yang juga Pengarah Urusan Universal Fitness and Leisure Sdn Bhd (UFL) memberitahu, koleksi terbaharu barangan Deuters (beg) musim 2019 dijangka lebih menarik.

"Lebih kurang 30 beg dengan sentuhan rekaan yang unik, penggunaan fabrik yang lebih menarik serta warna-warna baharu digunakan untuk koleksi terbaharu tahun depan.

"Saya yakin ia akan mendapat sambutan daripada penggemar pelbagai aktiviti 'outdoor', atau untuk digunakan secara harian.

"Malaysia dipilih sebagai negara pertama untuk memperkenalkan koleksi terbaharu ini sebelum pelancarannya ke negara Asean lain," katanya.

Deuters, bajet 2019

Artikel Sebelum

Ranieri pengurus baharu Fulham

Artikel Lain