suria

BAM akan bantu generasi 'sandwich' hadapi cabaran

Juara badminton remaja dunia Goh Jin Wei (kiri) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa. Foto: Bernama

SEPANG: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah ada perancangan membantu pemain muda negara yang dianggap sebagai ‘generasi sandwich', bagi menghadapi cabaran dalam transisi mereka untuk diserapkan dalam skuad senior.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C and T) BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata walaupun seseorang pemain itu menunjukkan prestasi cemerlang pada peringkat junior, cabaran sebenar menanti mereka adalah di peringkat senior.

Beliau berkata ini kerana pemain baru ‘dinaikkan' ke skuad senior akan menjadi ‘generasi sandwich', yang belum bersedia mencabar pemain berpengalaman dan handal seperti Datuk Lee Chong Wei, tetapi sudah mula diasak pemain junior yang berusaha mengambil alih tempat mereka

“Di peringkat junior, mereka hanya lawan dengan pemain berumur 18 atau 17 tahun, tetapi di peringkat senior ada pemain daripada pelbagai peringkat umur...ada juga pemain sama umur dari negara lain yang tidak serius di peringkat junior, tetapi kemudian menjadi bagus seperti dari England dan Sepanyol.

“Segelintir pemain muda ini, jika tidak bersedia akan hilang arah dan kecewa. Jadi yang penting ialah persiapan mental selain ketahanan fizikal dan stamina untuk bersaing di peringkat senior. Mereka perlu bersedia berdepan kekalahan, berusaha keras dan sentiasa memperbaiki prestasi, jangan harapkan kejayaan segera apabila berada dalam skuad senior.

“Apabila Pengarah Kejurulatihan baharu Wong Choong Hann mula melapor diri, beliau menerangkan tentang generasi sandwich ini dan berusaha menanganinya,” kata beliau kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa selepas menyambut kepulangan skuad negara daripada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Markham, Kanada.

Barisan pemain muda negara menunjukkan prestasi membanggakan apabila pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei meraih gelaran dunia keduanya selepas gelaran sulung pada 2015, manakala pasangan beregu wanita, Pearly Tan Koong Le-Toh Ee Wei muncul naib juara.

Chin Chai yang juga Setiausaha Agung BAM juga mengesahkan kesemua pemain dari skuad ke Kejohanan Dunia itu akan diserapkan ke peringkat senior kebangsaan, termasuk satu-satunya pemain profesional dalam skuad berkenaan, Aidil Sholeh Ali Sadikin.

“Saya bangga dengan pencapaian pemain junior kita kerana ini satu titik permulaan yang baik untuk mereka memasuki skuad kebangsaan. Kecuali Jin Wei, Pearly Tan dan Toh, pemain lain akan ada tempoh percubaan dan setiap tiga bulan kita akan menilai semula.

“Semua pemain di peringkat senior kecuali di bawah percubaan, akan dihantar menyertai sekurang-kurangnya 10 kejohanan antarabangsa,” katanya.

Beliau turut mengakui pasukan remaja wanita menunjukkan prestasi baik selepas dua dekad, dan mencapai tahap sama dengan skuad lelaki.Ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng pula berharap pemainnya yang bakal ‘naik pangkat' ke peringkat senior, akan terus bekerja keras dan mempamerkan prestasi cemerlang.

“Saya sangat berpuas hati dengan persembahan pemain di Kanada, kerana selain kejayaan mara ke final perseorangan dan beregu wanita, pemain kita juga layak ke suku akhir dalam lima kategori lain dengan mengejutkan pemain pilihan. Ini petanda baik untuk BAM.

“Selepas ini, saya rasa kena beri masa kepada mereka untuk bersedia ke peringkat senior...sekurang-kurangnya dua tahun bagi mereka mendapat pendedahan, pengalaman, keupayaan dan ketahanan untuk meningkat naik,” katanya.-Bernama

BAM, pemain muda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

"Kami seperti adik-beradik"

Artikel Lain