suria

Acara 10KM Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang dibatalkan, peserta dapat medal

GEORGE TOWN: Hari yang kurang baik buat peserta Larian Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang kerana acara terpaksa dibatalkan berikutan ribut petir.

Lebih 11 ribu peserta yang telah bersedia memanaskan badan sebelum acara 10 kilometer bermula yang dijadualkan pukul 6.30 pagi, terpaksa pulang tanpa perlu berpeluh.

Pun begitu kesemua peserta tidak pulang kosong kerana turut diberi medal acara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Yeoh Soon Hin berkata, acara terpaksa dibatalkan kerana mengambil kira keselamatan peserta.

"Saya tahu semua peserta sudah siap sedia untuk berlari tetapi kami terpaksa membatalkannya kerana hujan.

"Ia tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi keadaan cuaca di luar kawalan kami.

"Kami tidak mahu sebarang kecederaan berlaku," katanya dalam ucapannya semasa upacara penyampaian hadiah yang diadakan di kawasan parkir berhampiran Queensbay Mall, Bayan Lepas.

Yeoh kemudian menjelaskan bahawa larian itu tidak dapat ditangguhkan kerana Jambatan Pulau Pinang perlu dibuka semula pada pukul 10 pagi.

"Kita perlu membersihkan dan mengikuti protokol, sebab itu ia tidak boleh ditangguh," katanya.

Bagaimanapun, acara maraton 42km penuh dan separuh maraton 21km, yang bermula pada 1.30 pagi dan 3 pagi masing-masing tidak terjejas dan diteruskan seperti yang dijadualkan.

Seramai 26,000 peserta menyertai cara kali ini.

Maraton Pulau Pinang, 10KM

Artikel Lain