PETALING JAYA: Kisah bekas pemain bola sepak kebangsaan yang dilaporkan tidur di tepi jalan mendapat perhatian pelbagai pihak. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) kini cuba mencari dan membantu Salahuddin Che Ros. Salahuddin dilaporkan terpaksa 'bermalam' di tepi jalan setiap kali turun ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN). Bekas pemain kelahiran Pulau Pinang itu menjadikan Jalan Hang Lekiu sebagai tempat bermalamnya. "Kami hanya baharu mendapat tahu keadaannya daripada laporan media. "Kami telah mendapatkan nombor telefon tetapi gagal menghubunginya, dia tidak jawab. "Kami yakin akan dapat bertemu dengannya dan cuba bantu," ujarnya Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam. Sementara itu, PFAM akan menganjurkan perlawanan bola sepak di Eco Ardence di Setia Alam pada Rabu bagi mengumpul dana bantuan kepada Salahuddin. Presidennya Rezal Zambery berharap dengan adanya perlawanan ini ia akan membuka mata orang ramai untuk mengambil perhatian mengenai situasi bekas atlet itu. "Kami berharap dapat membina hubungan dengan semua bekas pemain bola sepak tempatan. "Perlawanan amal ini akan disertai oleh pasukan korporat, swasta dan orang awam," jelasnya.