PETALING JAYA: Kumpulan yang mendapat jolokan 'ekor' Harimau Malaya kini siap sedia membakar semangat juang pasukan negara pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki di Stadium Rajamangala Bangkok, Rabu. Aksi seri tanpa jaringan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu memberi seribu satu harapan kepada semua penyokong setia Harimau Malaya agar dapat memberi persembahan terbaik sekaligus mampu ke pentas akhir buat kali keempat selepas 2014. Di atas padang sememangnya tugas sukar buat anak buah Tan Cheng Hoe berdepan dengan juara dua tahun berturut-turut itu, namun segalanya mungkin berlaku dalam bola sepak. Apa yang pasti lebih kurang 1,000 penyokong negara dijangka berada di Bangkok sebagai ekor, menyeru nama negara dan memberi aura semangat kepada semua pemain. Menurut salah seorang kumpulan penyokong Ultras Malaya, Hermy Rahim, sebahagian penyokong negara sudah pun memulakan perjalanan menuju ke Bangkok. Hermy (dua kiri berdiri) bertemu dengan sebahagian daripada pemain negara sebaik sahaja tiba di Bangkok pada Selasa. "Pukul 3 pagi tadi (Selasa) lebih kurang 10 bas penyokong sudah bergerak ke sini dalam 400 orang kesemuanya. "Manakala seramai 160 lagi akan menaiki penerbangan AirAsia pada esok pagi. Dan ada juga yang datang ke sini secara bersendirian menaiki kereta dan motosikal," ujarnya ketika dihubungi mStar Online. Jelas Hermy tiba lebih awal di Bangkok bagi menguruskan tempat penginapan dan tiket-tiket penyokong Malaysia. "Saya jangkakan lebih kurang 1,000 penyokong Malaysia akan berada di stadium malam esok. Kesemua tiket untuk penyokong Malaysia sudah habis dijual. "Apa yang penting saya harap semua penyokong Malaysia selamat tiba di sini, jaga adab dan tingkah laku sebagai rakyat Malaysia," ujarnya. Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki pada 2010 menang secara garegat 4-2. Manakala pada 2014, skuad negara tewas secara agregat 4-3 kepada pasukan Gajah Perang itu pada aksi akhir.