suria

Doctor Run sasar 5,000 peserta

DOCTOR Run yang bakal berlangsung 24 Mac ini menyasarkan 5,000 peserta.

Program larian yang dianjurkan ini bertujuan mengumpul dana Tabung Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) dan dalam masa sama meningkatkan kesedaran kesihatan untuk lapisan masyarakat.

Dengan bertemakan 'Health Is Precious, Together We Care', setiap dana akan disalur untuk membantu Perdim bagi membiayai kos-kos operasi serta aktiviti yang berlandaskan keilmuan dan penjagaan kesihatan.

Perdim merupakan pertubuhan kedoktoran yang aktif dalam menjalankan program-program berorientasikan keilmuan dan kesihatan bagi kepentingan masyarakat.

Lebih menarik larian yang bakal berlangsung di Dataran Merdeka Kuala Lumpur bermula pukul 6 pagi ini, menawarkan hadiah wang tunai bagi peserta tempat pertama sehingga kelima bagi setiap kategori larian 12 kilometer dan 17 kilometer.

Bagi memeriahkan lagi pertandingan, penganjur juga turut menawarkan hadiah bagi pemenang kostum doktor terbaik selain cabutan bertuah yang kesemuanya bernilai RM15,000.

Selain menyasarkan peserta daripada pengamal perubatan moden swasta serta kerajaan, orang ramai di sekitar Lembah Klang turut dialu-alukan.

Menariknya, Doctor Run 2019 adalah acara larian kompetitif pertama berunsurkan kebajikan melibatkan doktor, pengamal penjagaan kesihatan, pelajar perubatan, golongan profesional dari industri penjagaan kesihatan dan masyarakat.

"Perdim berharap, acara ini akan menjadi program tahunan dan dapat memupuk kesedaran terhadap pentingnya aktiviti fizikal bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan.

"Kesihatan adalah penting dan aktiviti bersenam seperti berjalan dan berlari merupakan aktiviti atau pergerakan yang paling mudah dilakukan oleh manusia selain boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur.

"Aktiviti itu jika dilakukan secara konsisten dapat mengaktifkan otot-otot dan melancarkan lagi peredaran darah ke seluruh organ badan sekali gus menjadikan tubuh badan lebih sihat dan cergas," ujar Perdim dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Orang ramai yang berminat menyertai larian ini boleh klik pautan DoctorRun dan juga Facebook Doctor Run untuk maklumat lanjut.

Doctor Run, 24 Mac

Artikel Lain