OPERASI mencari Emiliano Sala akan diteruskan semula selepas Lionel Messi dan beberapa bintang bola sepak terkemuka dunia membantu mengumpul dana mencecah 200,000 pound sterling untuk misi mencari pemain itu secara persendirian. Ramai pemain bola sepak meluahkan rasa simpati terhadap Sala selepas operasi mencari dan menyelamat pemain itu dan juruterbang, Dave Ibbotson dihentikan pada Khamis. Pencarian sudan dilakukan di darat dan laut oleh pasukan mencari dan menyelamat selepas pesawat ringan dinaiki Sala, 28, hilang dari radar pada Isnin. Sala berlepas dari Nantes, barat Perancis menuju ke Cardiff selepas menandatangani kontrak bersama Cardiff City bernilai 15 juta pound sterling. Pemain Manchester City Ilkay Gundogan, Pengurus Nantes Vahid Halilhodzic, pemain sayap Leicester City Demarai Gray dan pemain Bayern Munich Corentin Tolisso turut menyalurkan sumbangan kepada dana dalam talian untuk operasi terbabit. Kempen dana dalam talian itu diwujudkan agensi bola sepak Sala di Perancis, Sport Cover, dengan petisyen dilancarkan berjaya mengumpul lebih 80,000 tandatangan setakat ini. Bintang Argentina, Messi dan Diego Maradona turut menggesa agar operasi mencari terbabit dimulakan segera. Dalam pada itu, Presiden Argentina Mauricio Macri turut mengarahkan menteri luarnya untuk menghantar permintaan rasmi kepada Britain dan Perancis agar operasi pencarian itu diteruskan. Pesawat jenis Piper Malibu itu hilang dari radar pada Isnin lalu. Difahamkan pesawat ringan yang mempunyai satu enjin itu sudah berusia 25 tahun. Sala turut menghantar mesej audio yang memaklumkan bahawa penerbangan tersebut agak 'bumpy' kerana cuaca buruk dekat Guernsey. Turut tersebar penerbangan itu ditangguhkan selama 10 jam sekaligus memaksa pesawa tersebut terbang pada waktu malam. Pesawat itu berlepas dari Nantes kira-kira pukul 7.15 malam Isnin, lari daripada jadual asal penerbangan pada sebelah pagi. Namun pesawat itu berdepan masalah ketika melintasi Kepulauan Channel dan hilang dari radar sekitar pukul 8.30 malam. - The Sun