LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) sudah bersedia menerima kunjungan peminat sukan permotoran pada ujian rasmi Kejuaraan Dunia MotoGP 2019 pertama di Litar Antarabangsa Sepang pada hujung minggu ini. Ketua pegawai eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata beliau menjangkakan lebih ramai kehadiran peminat MotoGP dengan adanya pasukan pertama MotoGP negara, Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) dalam perlumbaan berprestij itu. "Kami sudah bersedia. Pihak kami akan sediakan kemudahan jualan trak makanan, tempat letak kereta yang lebih dekat dan kawalan keselamatan yang tinggi namun tiada sebarang tiket dikenakan kepada penonton melainkan mereka mahu masuk paddock. "Saya tidak pasti berapa bilangan pengunjung nanti tapi saya yakin ia pasti lebih ramai berbanding sebelum ini. Ia boleh dikatakan seperti kejohanan mini MotoGP," katanya kepada media selepas majlis pengumuman Majlis Anugerah Sukan Permotoran Petronas SIC MAM 2018. Selepas ujian rasmi di Litar Antarabangsa Sepang, ia diikuti ujian terakhir di Qatar pada 23 hingga 25 Feb ini, sebelum perlumbaan musim baharu 2019 bermula di Losail dari 8 hingga 10 Mac. Untuk rekod, Malaysia memcipta sejarah tersendiri dalam arena permotoran apabila buat julung kali memiliki pasukan MotoGP sendiri yang akan dibarisi Franco Morbidelli dari Itali dan Fabio Quartararo dari Perancis.- Bernama