suria

Jentera, warna baharu suntik semangat Hafizh Syahrin

Hafizh Syahrin bersama jentera baharunya.

WARNA baharu pasukan Red Bull KTM Tech3 memberi suntikan motivasi kepada pelumba MotoGP pertama Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah untuk menampilkan prestasi cemerlang dalam Kejuaraan MotoGP Dunia 2019.

“Saya sangat teruja dengan seragam baharu pasukan ini. Saya rasa ia berbeza daripada pasukan lain di trek. Kami Red Bull KTM Tech3 adalah satu lagi pasukan yang membawa warna baharu di litar.

“Saya tidak sabar beraksi di trek bersama jentera ini di Qatar. Motosikal ini kelihatan hebat, lebih-lebih lagi di bawah sinaran lampu limpah di padang pasir. Saya sangat gembira dengan keadaan ini, dan tidak sabar menanti musim 2019 bermula,” kata pelumba berusia 24 tahun itu.

Pasukan Red Bull KTM Tech 3 memperkenalkan jentera dengan warna baharu, biru dan jingga di Mattighofen, Austria pada Selasa.

“Musim ini agak mencabar bagi saya kerana pada tahun lepas saya menunggang Yamaha dan tahun ini menggunakan KTM. Saya sangat teruja. Kami boleh bangunkan jentera ini menjadi lebih baik.

“Saya akan bekerja keras sesuaikan diri dengan jentera ini kerana ia jentera berbeza, perasaan terhadap motosikal ini juga berbeza. Saya perlu mempersiapkan diri secara fizikal untuk membiasakan diri dengan jentera baharu MotoGP ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hafizh Syahrin menyasarkan menamatkan saingan di kedudukan 15 terbaik dalam penampilan keduanya sebagai pelumba MotoGP tahun ini.

Malam Selasa, Hafizh Syahrin menerima pengiktirafan tertinggi atas prestasi cemerlangnya dalam sukan permotoran dengan merangkul Anugerah Pelumba Antarabangsa Terbaik Petronas.

Pelumba kelahiran Selangor itu yang membawa kebanggaan dan kegembiraan sebagai rakyat Malaysia pertama bersaing dalam kelas utama Kejuaraan MotoGP Dunia musim lepas bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3, turut merangkul Anugerah Pilihan Ramai. - BERNAMA

Hafizh Syahrin, MotoGP

Artikel Lain