suria

"Kritikan rambang boleh beri kesan psikologi kepada pengadil" - Kevin

Gambar hiasan pengadil melayangkan kad merah dalam satu perlawanan Liga Perdana 2013.

KERANCAKAN Liga Malaysia yang bermula awal bulan ini sedikit terpalit susulan pelbagai kritikan terhadap mutu pengadilan yang dikata tidak memuaskan.

Menyedari banyak kritikan dan perbincangan rambang mengenai mutu pengadilan, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Kevin Ramalingam meminta supaya pengadil tempatan dapat diberi ruang dan peluang untuk membuktikan potensi mereka selaras penubuhan badan bebas pengadil, Profesional Match Official Malaysia (PMOM) tahun ini.

Lebih tepat, MFL menggesa kesemua pihak memainkan peranan dalam mendukung barisan pengadil tempatan dengan memberikan pandangan membina dan bukannya mengkritik secara rambang.

Menurut Kevin, dia bimbang kritikan-kritikan itu akan memberikan kesan buruk khususnya daripada sudut psikologi selepas ramai pihak telah mula mempertikaikan mutu pengadilan.

Kevin berharap kesemua pihak termasuk pemain, pasukan, media dan peminat-peminat dapat memberikan input positif kepada pengadil tempatan terutama pengadil muda yang bakal menggalas harapan memperbaiki mutu pengadilan bola sepak negara dalam era profesional.

"Dalam minggu-minggu awal Liga Malaysia ini, ramai yang mengkritik (mutu pengadilan) dan apa yang kita dapat lihat momentum itu hadir daripada setiap pasukan yang cukup meneliti setiap keputusan pengadil.

"Boleh dikatakan semua pihak menyumbang keraguan atau analisis lebih mendalam terhadap persembahan pengadil-pengadil kita. Jadi, kita kena faham bahawa ada di antara mereka ini akan dijadikan sebagai pengadil profesional.

Kevin Ramalingam

"Jika kita menghancurkan keyakinan dan semangat mereka untuk menjadi pengadil profesional, kemungkinan ia akan memberi kesan pada masa depan dan disebabkan itu kita masih perlukan khidmat pengadil senior untuk dijadikan sebagai pengadil profesional juga.

"Apa yang merisaukan saya, dengan apa yang telah berlaku, ada di antara pengadil sukar untuk pulihkan keyakinan mereka disebabkan setiap langkah atau keputusan mereka semuanya menjadi pertikaian oleh semua pihak.

"Saya berharap mereka tidak akan sesekali patah semangat dan diberikan peluang untuk membuktikan kebolehan mereka menjadi pengadil profesional jika ditawarkan oleh Pengurus Besar PMOM nanti," katanya pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Kevin menegaskan MFL sedang berusaha keras untuk mendapatkan calon terbaik bagi mengisi tugas Pengurus Besar PMOM dalam misi memperbaiki mutu pengadilan negara.

“Pencarian Pengurus Besar PMOM sedang berjalan sebaik yang mungkin, kita tahu dengan situasi sekarang pelantikan itu perlu disegerakan namun kami perlu mendapatkan calon terbaik agar penubuhan PMOM ini dapat memberi impak yang cepat dan berkesan,” katanya.

Pengadil, Liga Malaysia, MFL

Artikel Lain