STATUS sebagai penyerang legenda negara bukan penghalang untuk Azman Adnan turun ke padang membantu kelab amatur M3, Tun Razak FC. Bekas pemain yang mencipta nama bersama Selangor dengan empat kejuaraan Piala Malaysia itu mengakui tidak pernah berasa malu untuk membimbing pemain bertaraf amatur yang ada di antara mereka peniaga char kueh teow dan pekerja kilang. Malahan, sentuhan Azman yang sebelum ini pernah mengendalikan pasukan Unifi Liga Super PDRM tampak menjadi apabila membawa pasukan yang digelar ‘budak flat’ dan berpangkalan di Cheras itu melangkah ke pusingan pertama Shopee Piala FA 2019. “Pada saya tidak ada apa yang nak dimalukan, ini kampung saya, budak flat (pemain Tun Razak FC) ini adalah anak buah saya juga, saya hanya bantu beri tunjuk ajar dan semangat kepada mereka. Dan ini bukan usaha saya seorang, saya juga dibantu oleh Azrul Amri Burhan dan Ivan Yusoff. “Ini tempat saya membesar dan bermain bola sepak dengan Azrul, Ivan…bila saya tahu mereka mahu menyertai M3, saya bersetuju untuk membantu mereka,” katanya kepada media pada Rabu. Tun Razak FC berjaya mencuri tumpuan apabila menewaskan kelab juara Divisyen 1 Liga Melaka, SAMB FC 3-1 pada play off Shopee Piala FA 2019 sebelum mara ke pusingan kedua dengan mengatasi juara Selangor Champion League Puchong Fuerza FC menerusi sepakan penalti 4-3 selepas aksi sebenar terikat 1-1. Bagaimanapun cabaran lebih hebat bakal dihadapi skuad budak flat itu yang diundi berdepan pasukan yang disokong oleh kebanyakan pemain mereka sendiri iaitu Kuala Lumpur pada pusingan pertama 2 atau 3 April ini. Bagi Azman,47, yang menyarung jersi Harimau Malaya sejak 1991-2001 berkata, pertembungan dengan pasukan Unifi Liga Super itu adalah impian menjadi kenyataan buat pemain Tun Razak FC. “Pasukan budak flat ini gembira sebab memang mereka mahu bertemu dengan pasukan Liga Super kerana mereka mahu merasai pengalaman beraksi dengan pasukan Liga Super. Bukan senang untuk mereka merasai pengalaman ini apatah lagi beraksi di stadium besar. “Pasukan ini beraksi dalam liga amatur M3 dan hanya berlatih tiga kali seminggu kerana mereka semua bekerja. Selepas pulang bekerja pukul 6 petang baru boleh berkumpul berlatih dan ada di antara mereka bekerja kilang, berniaga char kueh teow dan teppanyaki pada sebelah malam. "Pada saya untuk sampai ke tahap ini adalah satu pencapaian yang baik. “Cuma saya harap ada pihak luar tampil membantu memberi sumbangan kepada pasukan ini supaya pengurusan lebih tersusun kerana saya lihat ramai pemain berpotensi di kawasan ini,” katanya yang pernah menjulang Piala FA pada 1997 bersama Selangor dan 2003 dengan Negeri Sembilan. Dalam pada itu, Azman turut memuji langkah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang memberi peluang kepada banyak kelab amatur bersaing dalam Shopee Piala FA musim ini. “Terima kasih kepada MFL kerana beri peluang kepada banyak kelab amatur bersaing dalam Shopee Piala FA kali ini, ia pendedahan besar buat mereka bukan saja dapat beraksi dengan pasukan elit, malah dapat belajar cara pengurusan pasukan lebih baik,” ujarnya.