suria

"Tiap perlawanan penting, cuma pengadil perlu kenali pasukan diadili elak elemen 'kejutan' di padang" - Subkhiddin

Keputusan pengadil sentiasa menjadi subjek utama pemain dan penyokong. Gambar hiasan.

SUBKHIDDIN Mohd Salleh memberitahu seorang pengadil pastinya akan terkesan jika berdepan dengan publicity negative ketika menjalankan tugas 'istimewa' di padang.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu turut mengikuti perkembangan Liga Malaysia musim ini dari aspek pengadilan biarpun sudah meninggalkan badan induk bola sepak negara, November lalu.

Jelas Subkhiddin,52, sebagai pengadil sukar untuk memuaskan hati semua pihak dan pastinya kecaman atau sindiran akan memberi kesan kepada pegawai bertugas.

Artikel berkaitan: Hentikan agenda hasut pembaca benci JDT! - TMJ

"Sebagai seorang pengadil profesional, kami selalu menerapkan falsafah bahawa tiada perlawanan yang tidak penting.

"Persiapan awal sebelum sesuatu perlawanan diadili sentiasa diberi perhatian dan menjadi subjek keutamaan sehingga berakhir perlawanan tersebut.

"Persiapan seperti ini akan dapat mengelakkan seseorang pengadil berhadapan dengan element of surprise dalam perlawanan yang diadilinya.

"Ini juga sebahagian ramuan untuk memastikan sesuatu perlawanan itu dibawah kawalan seseorang pengadil.

"Sebagai contoh, kebanyakan kita boleh memandu kereta tetapi bukan semua kereta itu boleh dipandu dengan corak pemanduan yang sama.

"Kenali terlebih dahulu kereta tersebut dan ‘keseronokan’ pemanduan pasti akan memberikan keselesaan kepada si pemandu. Dengan itu, risiko kemalangan dapat dikurangkan," jelasnya kepada mStar Online.

Subkhiddin Mohd Salleh


Subkhiddin yang bertugas sebagai Instruktor Teknikal Pengadil Fifa memberi pandangan mengenai isu pengadil Liga-M musim ini yang dikatakan memberi layanan istimewa kepada kelab tertentu.

"Siapa pun mereka sama ada profesional atau tidak, mereka tetap manusia biasa yang perlu menjalankan tugas ‘istimewa’. 

"Sedikit sebanyak tentunya sebagai insan biasa mereka akan terkesan dengan komen-komen negatif apa lagi sekiranya sindiran itu datang dari mereka yang berpengaruh dalam dunia bolasepak.

"Bagaimanapun saya yakin FAM khususnya telah mengambil langkah awal untuk menyediakan beberapa sesi perbincangan atau seminar untuk memberikan sokongan motivasi kepada setiap pengadil yang terlibat sama ada sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

"Malah perkara seperti ini bukanlah sesuatu yang asing kepada dunia bolasepak.

"Bolasepak adalah subjek popular untuk didebat oleh setiap orang, sama ada mereka mempunyai pengetahuan atau tidak?.

"Mereka yang tidak bercakap soal bola sepak akan kelihatan ‘lemah’ oleh itu untuk kelihatan ‘bergaya’ mereka perlu bercakap, sekalipun tidak menepati kehendak undang-undang atau tafsiran bola sepak itu sendiri," katanya yang kini sedang bertugas di Qatar.

Tambah bekas pengadil Piala Dunia 2010 itu, punca tekanan daripada pasukan juga menjadikan pengadil sebagai subjek utama.

"Pasukan yang sedang berada diatas dalam carta kedudukan liga selalunya akan berasa tertekan dengan mana-mana pasukan terbawah dan begitu juga sebaliknya.

"Tekanan juga kemuncak apabila pasukan yang sedang ketinggalan jaringan gol semasa sesuatu tempoh masa permainan.

"Semua elemen ini akan memberi tekanan dalam permainan bolasepak secara keseluruhannya, kerana keutamaan mereka adalah untuk menggagalkan pemain pasukan lawan daripada menjaringkan gol.

"Situasi tekanan ini ada kalanya sukar dikawal sehingga menyebabkan mereka melakukan kesalahan yang tidak perlu khususnya didalam kawasan penalti," jelasnya.

Selain itu Subkhiddin memberitahu, biarpun sudah meninggalkan dunia pengadilan dalam Liga-M, dia tetap berhubung dengan barisan pengadil negara.

"Sudah tentu masih berhubung dengan mereka tetapi dalam kapasti yang lebih kecil berbanding sebelumnya kerana saya perlu berikan peluang seluas-luasnya tanpa sebarang gangguan.

"Langkah terbaik adalah menghormati perancangan dan keputusan yang pihak jawatankuasa terkini putuskan.

"Saya lihat Pengerusi Jawatankuasa Pengadil yang baharu juga sangat mengambil berat prestasi dan kebajikan setiap pengadil dibawah jagaan beliau.

"Ini adalah sesuatu yang sangat positif. Harapan terbesar saya adalah untuk melihat kemunculan lebih ramai pengadil dari peringkat akar umbi dari setiap negeri di Malaysia agar dapat memberikan saingan kepada pengadil senior yang sedia ada.

"Saya juga berharap setiap negeri dapat menyumbang sesuatu untuk melahirkan pengadil generasi baharu dan tidak hanya memberikan tumpuan kepada pembangunan pemain bola sepak sahaja," katanya.

Artikel Lain