JURULATIH Real Madrid Santiago Solari memberitahu dia tidak ada niat untuk berhenti berikutan kejutan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara musim ini. Juara bertahan tiga kali itu dimalukan Ajax selepas melakar kemenangan yang tidak akan dilupakan, 4-1 di Santiago Bernabeu pada Selasa. Dengan tersingkirnya dalam saingan kelompok 16 pasukan itu, pastinya ia akan menambahkan lagi tekanan kepada Solari yang turut menyaksikan skuadnya itu berada di kedudukan ketiga La Liga. Namun pengurus berusia 42 tahun itu yang menggantikan Julen Lopetegui tahun lalu tidak merancang untuk tinggalkan kelab. Santiago Solari "Saya tidak datang ke sini untuk berputus-asa. "Musim ini sangat sukar tetapi kami tetap menunjukkan perasaan dan karektor dalam situasi getir. "Saat senang adalah mudah untuk semua orang, anda boleh mendaki dan meluncur, tetapi apabila saat sukar anda perlu tunjukkan keberanian. "Apa yang kami perlu buat adalah mengekalkan ketenangan ketika saat sukar ini dan melaluinya dengan karektor yang terbaik. "Madrid lebih besar daripada kami semua, ia akan sentiasa kembali dengan lebih kuat," jelasnya.-OneFootball