PELUMBA negara, Azlan Shah Kamaruzaman memulakan saingan musim 2019 dengan cemerlang apabila menjuarai perlumbaan pertakma kategori Asia Superbike 1000cc Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada Sabtu. Azlan yang membawa cabaran OnexoxTKKR SAG Racing Team menamatkan 11 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 23’21.172s mengatasi Thitipong Warokorn (Kawasaki Thailand Racing Team) di kedudukan kedua dengan masa 23’23.137s. Pelumba berusia 34 tahun itubermula dari petak kedua bijak mengatur strategi apabila menunggu sehingga ke pusingan kesembilan untuk memintas Thitipong dan seterusnya memimpin perlumbaan sehingga ke garisan penamat. “Perlumbaan agak sukar kerana cuaca yang sangat panas dan saya perlu bijak untuk mengawal penggunaan tayar, namun pada masa sama cuaca panas juga memberi kelebihan kepada saya. “Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan dan penaja yang bekerja keras sepanjang minggu ini sehingga kami berjaya menaiki podium. Saya berharap dapat mengekalkan momentum ini pada perlumbaan kedua esok," jelas juara SuperSports 60cc Asia 2013 dan 2017 itu. Sementara itu, Broc Parkes (Yamaha Racing Team ASEAN) yang tampil cemerlang sepanjang minggu ini terpaksa akur di tempat ketiga setelah sekadar bermula dari petak keenam setelah terjatuh ketika sesi kelayakan. Broc menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 23’28.753s. Dalam saingan SuperSports 600cc, barisan pelumba muda negara mempamer aksi cemerlang apabila Kasma Daniel Kasmayuddin dan Muhamad Adam Mohd Norrodin menamatkan saingan di atas podium. Kasma (Hong Leong YAMAHA Malaysia) muncul naib juara dengan masa keseluruhan 21’54.494s setelah bersaing sengit bersama pemenang perlumbaan, Peerapong Boonlert (YamahaThailand Racing Team) di sepanjang 10 pusingan perlumbaan. Peerapong menamatkan saingan dengan masa keseluruhan 21’53.239s. Adam yang juga bekas pelumba Moto3 negara menamatkan saingan di tempat ketiga dengan masa 21’58.189s mengatasi tiga lagi pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar, Md Helmi Azman dan Md Ramdan Rosli. Perlumbaan Underbone 150cc turut menyaksikan kelibat pelumba negara apabila Md Affendi Rosli muncul naib juara perlumbaan dengan masa 15’28.870s manakala M Akid Aziz ketiga dengan masa 15’28.886s. Perlumbaan dimenangi pelumba UMA Racing YAMAHA Philippine Team, McKinley Kyle Paz dengan masa 15’28.658s.