PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kemenangan 2-0 yang diraih ke atas pasukan Melaka United (MU) Sabtu malam adalah hadiah bermakna buat penyokong pasukan itu. Ia kemenangan pertama dilakar di laman sendiri selepas tiga lagi perlawanan berakhir dengan keputusan seri iaitu 1-1 dengan PKNS FC, 2-2 melawan Johor Darul Ta`zim (JDT) dan seri 1-1 ketika bertemu Perak selain tewas 0-3 di tangan Pahang. "Saya tengok penonton tetap datang untuk beri sokongan kepada pasukan (TFC) walaupun sebelum ini kita hanya kalah dan seri di tempat sendiri. "Jadi saya pesan kepada mereka (pemain) supaya jangan lagi hampakan penyokong yang tetap setia datang untuk beri sepenuh sokongan kepada mereka," katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang MU di Stadium Sultan Nasiruddin Shah. Mengulas mengenai percaturannya meletakkan penjaga gol, Mohd Suffian Rahman sebagai kapten menggantikan Thchetche, beliau berkata ia bagi mengurangkan tekanan terhadap 'Drogba Ganu' yang masih belum menunjukkan keupayaan sebenar biarpun muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Malaysia (sembilan gol) musim lepas. Ternyata percaturan tersebut menjadi dan secara keseluruhan jurulatih kelahiran Kelantan itu berpuas hati dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh anak buahnya malam tadi walaupun masih tidak dapat menandingi kualiti yang dipamerkan ketika menentang JDT sebelum ini. "Kita ada masa yang panjang sebelum perlawanan menentang Selangor dalam tempoh tiga minggu lagi. "Selepas cuti rehat tiga hari, kita akan adakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan Liga Premier di Kuala Lumpur bagi mengekalkan momentum pemain untuk menghadapi perlawanan seterusnya," katanya yang tidak menolak kemungkinan akan mengekalkan pemain tertua Liga Malaysia (Mohd Suffian) sebagai kapten pasukan pada perlawanan akan datang.- Bernama