DEWAN Adjudikasi Jawatankuasa Etika Bebas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mendapati seorang pengadil dan pegawai yang berkhidmat dengan Persatuan Bola Sepak Togo bersalah kerana menerima suapan. Prosiding melibatkan Kokou Hougnimon Fagla dimulakan pada 27 Mac tahun lalu selepas didapati memanipulasi perlawanan persahabatan antarabangsa yang melanggar Kod Etika Fifa. Ia dilakukan selepas penyiasatan luas ke atas pelbagai pertandingan antarabangsa yang cuba dimanipulasi oleh bookie warga Singapura, Wilson Raj Perumal untuk tujuan pertaruhan. Siasatan berskala besar tersebut dilakukan oleh Fifa selama beberapa tahun melalui Jabatan Integriti persatuan itu. Fifa juga bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan pihak berkuasa yang berkaitan. Dalam keputusannya, Dewan Adjudikasi mendapati bahawa Fagla telah melanggar etika dengan melakukan sebelas (suapan) yang tertakluk kepada Kod Etika Fifa edisi 2009. Bekas pengadil itu diharamkan daripada terlibat dalam semua aktiviti berkaitan bola sepak (pentadbiran, sukan atau lain-lain) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk seumur hidup. Disamping itu, denda dalam jumlah CHF 3,000 (RM12,291) juga dikenakan ke atas Fagla. Keputusan itu dimaklumkan kepada Fagla pada Khamis iaitu tarikh larangan tersebut berkuat kuasa. - This Day Live