suria

Kelayakan AFC B-23: Malaysia ikat China 2-2

Pemain Malaysia B-23 meraikan jaringan pertama oleh Syahmi Safari pada perlawanan Pusingan Kelayakan AFC B-23 Thailand 2020 di Stadium Shah Alam, malam Selasa. Foto Bernama

PENYOKONG Malaysia yang begitu bersemangat mahu melihat pasukan kesayangan mereka melangkah ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 tahun (B-23) di Bangkok tahun depan, kecewa apabila skuad negara seri 2-2 dengan China pada perlawanan akhir Kumpulan J Kelayakan AFC B-23, malam Selasa.

Tandukan pemain China Jiang Sheng pada minit ke-83 menafikan impian lebih daripada 20,000 peminat tuan rumah untuk menyaksikan Malaysia layak secara automatik selaku juara kumpulan ke pusingan akhir tahun depan, di Bangkok.

Dalam perlawanan di Stadium Shah Alam di Shah Alam, malam Selasa, anak buah Gus Hiddink memulakan permainan dengan baik tetapi Malaysia memecah kebuntuan pada minit ke-10 selepas bola sepakan Muhammad Syahmi Safari terkena kaki Yang Liyu dan masuk ke dalam gawang sendiri.

Enam minit kemudian, China memperoleh gol penyamaan menerusi tandukan Zhang Yuning dan kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama. 

Malaysia kembali mendahului pada minit ke-54 selepas pemain tengah, Muhammad Danial Haqim menolak masuk bola ke dalam gawang dengan tenang selepas penjaga gol China Chen Wei gagal menyekat  sepakan sudut Nik Akif Syahiran. 

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Ketua Jurulatih Malaysia Datuk Ong Kim Swee mengakui ia adalah keputusan yang mengecewakan kerana pasukannya terlepas peluang keemasan untuk melangkah ke pusingan akhir secara automatik. 

“Boleh dikatakan keputusan (layak atau tidak) yang masih samar-samar di mana kita belum tahu apa keputusan pasukan-pasukan lain tetapi permainan yang ditunjukkan para pemain hari ini mengikut apa yang kita inginkan kecuali dibolosi pada tujuh minit terakhir perlawanan.

Sementara itu, Hiddink memuji kedua-dua pasukan kerana mempamerkan permainan yang bagus sehingga ke wisel penamat.

“Kami menyaksikan satu permainan bola sepak yang hebat penuh ketegangan.  Dua pasukan yang suka bermain bola sepak, yang mahukan kemenangan tetapi seri sudah memadai.

Sebagaimana yang saya katakan dahulu, Malaysia memiliki pasukan yang mempunyai individu dengan kemahiran yang bagus dan mereka tahu bagaimana untuk bermain dengan baik. Jadi, ia adalah permainan yang mencabar buat kami,’ katanya. - Bernama

Artikel Lain