suria

Juruterbang pesawat dinaiki Sala rabun warna, tidak dibenarkan terbang waktu malam

JURUTERBANG pesawat yang membawa pemain bola sepak Cardiff City, Emiliano Sala tidak dibenarkan terbang pada waktu malam.

Pesawat dikendalikan David Ibbotson terhempas di perairan Selat Inggeris ketika dalam perjalanan dari Nantes menuju ke Cardiff pada Januari lalu.

Kini timbul khabar angin bahawa Ibbotson sebenarnya buta warna, jadi dia tidak dibenarkan untuk terbang pada waktu malam.

Pihak berkuasa Penerbangan Awam United Kingdom (UK) belum memberikan sebarang komen berhubung dakwaan yang didedahkan BBC.

Namun Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) berkata perlesenan terus menjadi fokus utama kepada penyiasatan nahas udara itu.

Sala, 28, baharu sahaja menandatangani kontrak bersama Cardiff City dan pulang semula ke Nantes untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan pasukannya.

Pesawat dikendalikan Ibbotson hilang dari radar dan serpihan pesawat kemudian ditemui di laut.

Mayat Sala pula ditemui pada 6 Februari lalu tetapi mayat Ibbotson masih belum ditemui sehingga hari ini.

Sumber memberitahu BBC bahawa lesen dimiliki Ibbotson hanya membenarkannya terbang pada siang hari.

"Buta warna tidak membenarkan seorang juruterbang menerbangkan pesawat pada waktu malam kerana mereka sukar membezakan warna hijau dan merah.

"Terbang dengan melanggar sekatan yang dikenakan adalah salah dan ia menjejaskan perlindungan insurans untuk penerbangan itu," kata sumber.

Pesawat itu dijadualkan berlepas dari lapangan terbang Nantes pada pukul 9 pagi waktu tempatan.

Namun penerbangan itu ditangguhkan atas permintaan Sala sebelum terbang pada pukul 7 malam.

Laporan penuh siasatan nahas pesawat itu dijangka diperolehi pada 2020. - Metro.co.uk

Artikel Lain