CABARAN juara bertahan, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2019 berakhir di pusingan kedua apabila tewas kepada pasangan Jepun Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo, Khamis. Dalam masa hanya 36 minit, pasangan beregu campuran Malaysia itu terpaksa akur kepada lawan mereka 22-24, 10-21 pada kejohanan tersebut yang berlangsung di Stadium Tertutup, Singapura. Pada aksi pusingan pertama Rabu, gandingan Malaysia itu yang diletakkan selaku pilihan keenam, menewaskan pasangan Indonesia Alfian Eko Prasetya-Marsheilla Gischa Islami; 21-18, 21-16. Kejohanan berkenaan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$355,000. Satu lagi pasangan beregu campuran Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, dalam pada itu mara ke suku akhir selepas mengejutkan gandingan Jepun, Kohei Gondo-Ayane Kurihara; 19-21 21-9 21-17. Pilihan keempat, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula mengetepikan cabaran pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Lee Chia Hsin; 21-15 21-15. Malaysia menyenaraikan lima wakil dalam kategori tersebut. Bagi acara perseorangan lelaki yang turut melibatkan penyertaan lima wakil Malaysia, menyaksikan pemain tunggal negara beraksi di pusingan kedua, Lee Zii Jia, gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir setelah tumpas kepada pemain Indonesia, Jonatan Christie; 13-21, 12-21. Sementara dalam kategori beregu lelaki, pasangan Malaysia Goh V Shem-Tan Wee Kiong mengatasi pasangan Thailand Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash; 21-15, 21-10. Pilihan kedua Li Junhui-Liu Yuchen dari China, bagaimanapun mengalahkan satu lagi pasangan Malaysia Aaron Chia-Soh Wooi Yik; 21-11, 21-19. Chooi Kah Ming-Low Juan Shen turut gagal menempah slot ke suku akhir apabila tumpas kepada pilihan kelapan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia; 20-22, 17-21. - BERNAMA