PENYERANG Atletico Madrid, Diego Costa digantung beraksi lapan perlawanan La Liga oleh Jawatankuasa Pertandingan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol. Keputusan itu dibuat kerana perbuatannya mencaci pengadil semasa dia dilayangkan kad merah ketika Atletico tewas 0-2 kepada Barcelona, Ahad lalu. Laporan itu menyebut pemain berusia 30 tahun itu turut menengking pengadil Jesus Gil Manzano pada minit ke-28. Penggantungan itu menamatkan kempen Costa musim ini lebih awal memandangkan hanya tujuh lagi perlawanan yang perlu diharungi. Sementara itu, Atletico turut didenda 2,800 euro (RM13,000) manakala Costa kira-kira 6,010 euro (RM27,904)mengenai insiden itu. Mereka juga mempunyai masa 10 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.