ACARA kanu polo mungkin tidak sepopular sukan lain, namun ia dianggap prospek emas untuk Malaysia. Persatuan Kanu Malaysia (Masca) yakin dengan perancangan dan program pembanguan yang baik, sukan ini bakal menjadi tumpuan peminat-peminat sukan tanah air. Presidennya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharuddin memberitahu, Malaysia akan cuba membida untuk menjadi tuan rumah pada Kejuaraan Kanu Polo Asia dalam tempoh terdekat ini. ARTIKEL BERKAITAN: Kanu: "Hanya 40 atlet terbaik sertai skuad negara, tiada lagi pemilihan kedua" “Kalau boleh kita mahu menjadi tuan rumah untuk edisi tahun ini, tetapi tidak berkesempatan berdasarkan jadual tahun ini. “Mungkin kita akan cuba menganjurkannya tahun depan di Sarawak. “Sarawak antara lokasi yang paling sesuai, tambahan pula dengan sokongan negeri yang memang menumpukan pembangunan sukan polo kanu ini,” ujarnya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Konfederasi Kanu Asia (ACC) pada Selasa. Megat Shahriman (tiga kiri) bersama Ahli Jawatankuasa ACC. Dalam pada itu, Megat Shahriman mahu memastikan ranking pasukan kanu polo Malaysia meningkat ke tempat yang lebih baik. “Malaysia (Bawah 21) kini berada di ranking ke-9 dunia dan sebolehnya kami ingin meningkat dalam kelompok lima terbaik dalam tempoh dua tahun lagi. "Manakala untuk pasukan kebangsaan kita berada di kedudukan kedua Asia. “Saya yakin dengan sokongan semua pihak ia mampu dicapai," jelasnya yang mengambil alih pucuk pimpinan persatuan ini November lalu. Sebagai rekod, skuad kanu polo negara yang beraksi pada Sukan Asia 2018 di Jakarta meraih pingat perak. Pencapaian tersebut amat membanggakan, lebih-lebih lagi berjaya menewaskan juara bertahan enam kali, Taiwan pada aksi separuh akhir, namun terpaksa akur dengan kehebatan Jepun yang merangkul pingat emas tahun lalu. Selain itu, Presiden ACC Masanori Shoken Narita memberitahu, Malaysia antara salah sebuah pasukan yang meningkat naik dalam acara ini. “Semua kejohanan yang akan berlangsung melihat Malaysia antara penganjur acara itu. “Untuk kejohanan Asia tahun depan keputusan (sebagai tuan rumah) akan dibuat ketika berlangsungnya kongres melibatkan undian 38 negara," katanya yang berharap Malaysia akan bertanding di Sukan Olimpik.