suria

Guna kelebihan beraksi di stadium sendiri, itu pesan Victor Andrag!

Victor Andrag.

PEMAIN Kedah perlu menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di Stadium Darul Aman ketika menerima kunjungan Petaling Jaya (PJ) City FC dalam saingan Liga Super, malam Selasa.

Penolong Jurulatih Kedah, Victor Andrag berkata, kelebihan beraksi di laman sendiri penting untuk pemain untuk menyerap tekanan lawan dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan yang dicatat sebelum ini.

Menurutnya, semangat juang pemain kini berada di tahap terbaik selepas mereka berjaya menewaskan Terengganu dalam perlawanan sebelum ini untuk bangkit dari kekalahan kepada Kuala Lumpur.

Beliau berkata, walaupun skuadnya terpaksa melupakan khidmat Anmar Almubaraki yang mengalami kecederaan, namun itu bukan alasan untuk gagal mencatatkan kemenangan.

"Kita ada ramai pemain yang mampu memainkan peranan yang ditinggalkan pemain kelahiran Iraq itu. Mereka juga sedia untuk diturunkan untuk perlawanan ini dan tahu apa yang perlu dilakukan.

"Kepulangan Mohd Fadzrul Daniel Mohd Nidzam dari England akan membantu kita untuk memantapkan lagi bahagian tengah selain mengisi kekosongan yang ada.

"Pemain-pemain lain pula berada dalam keadaan baik dan barisan kejurulatihan sedang meneliti mereka yang akan mengisi kesebelasan utama.

"Seperti yang kita lihat ketika menentang Terengganu, Ifwat Akmal telah beraksi cemerlang sepanjang permainan untuk memastikan kita tidak bolos, oleh itu dia memiliki peluang untuk kekal dalam kesebelasan utama," katanya kepada mStar.

Victor memberitahu, sebagai penolong jurulatih, beliau akan meneruskan perancangan yang disediakan Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak dalam perlawanan kali ini.

Aidil Sharin kini sedang mengikuti kursus kejurulatihan di ibu negara.

Liga Super, Victor Andrag

Artikel Lain