"JURULATIH olahraga tempatan jangan ego kalau nak tengok atlet melepasi tahap Asean," tegas Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim memberitahu mStar , beliau sudah muak dengan sikap segelintir jurulatih tempatan yang enggan menerima pendapat orang lain. "Negara kita ramai atlet pecut muda yang mempunyai peluang cerah ke peringkat yang lebih tinggi. ARTIKEL BERKAITAN: 'The Flying Youth' Gelaran Buat Khairul Hafiz ARTIKEL BERKAITAN: 'Usain Bolt Malaysia' ditemui! Jurulatih kata “perjalanannya masih jauh, jangan terlalu beri tekanan” "Tetapi dengan adanya sikap jurulatih tempatan yang pentingkan diri, ia membuat atlet kita jadi mangsa keadaan. "Ini adalah realiti. Contoh terdekat adalah pelumba muda Khairul Hafiz Jantan yang beberapa kali mengalami kecederaan. "Ini disebabkan jurulatihnya (Mohd Poad Kassim) yang susah memberi kerjasama kepada kami untuk bantu dari segi perancangan latihan supaya lebih sistematik. "Dia tidak pernah memberi laporan lengkap mengenai perancangan latihannya kepada kami secara profesional. Hanya dengan melalui mesej sahaja," jelas Karim mengenai atlet berusia 20 tahun itu serta kerenah jurulatihnya itu. Khairul antara pelumba pecut muda negara. Karim berkata, situasi ini amat berbeza dengan jurulatih negara lain yang sentiasa inginkan perubahan. "Kita ambil contoh terdekat. Atlet pecut Indonesia, Lalu Mohamad Zohri antara yang terbaik dunia bagi kategori remaja. "Mereka menggunakan khidmat jurulatih Amerika Syarikat dalam tempoh tertentu dan selepas itu ilmu tersebut akan digunakan oleh jurulatih tempatan. "Begitu juga Jepun, Thailand yang semakin baik. Semuanya menggunakan sentuhan pakar-pakar pecut dari Amerika," ujarnya. Karim berkata, beliau tidak mahu situasi demikian berlaku kepada atlet muda yang semakin mendapat perhatian iaitu Muhammad Azeem Mohd Fahmi. "Situasi Azeem berbeza kerana dia masih bersekolah. Kita akan pantau dia melalui jurulatih negerinya. "Cuma saya harap setiap jurulatih negeri bersedia lepaskan atletnya untuk berguru dengan pakar-pakar yang lebih berpengalaman di peringkat tinggi. "Kita tidak mahu tengok atlet ini berjaya di Sukan SEA sahaja," katanya. Untuk rekod, Khairul atau dikenali 'Speedy Jantan' merupakan pemegang rekod 100 meter negara 10.18 saat serta pemenang pingat emas Sukan SEA 2017.