BEKAS Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menerima tawaran mengejut dari Celtic untuk mengemudi kelab itu musim depan. Kelab gergasi Scotland itu merangkul trofi kemenangan kelapan berturut-turut selepas menundukkan Aberdeeen pada Sabtu lalu. Namun Celtic sedang mencari calon terbaik menggantikan Brendan Rodgers. Neil Lennon menggantikan Rodgers dalam masa singkat tetapi Celtic tidak berminat untuk melantiknya buat kali kedua. Mourinho masih belum terikat dengan mana-mana kelab selepas dipecat United pada Disember lalu. Namun sebelum ini Mourinho memberi bayangan dia akan kembali semula ke padang pada awal musim depan. Pengendali dari Portugal itu masih berteka-teki ketika ditanya mengenai kelab yang akan disertainya tetapi dia memberitahu terbuka untuk mencuba pengalaman baharu. Menurut Gianluca Di Marzio, Celtic menawarkan kontrak kepada Mourinho untuk mengendalikan kelab itu musim depan. Ejen Mourinho, Jorge Mendes dikatakan mempunyai hubungan baik dengan lembaga pengarah Celtic dan akan berbincang dengan The Special One mengenai tawaran itu. Celtic mahukan seorang pengurus yang boleh memacu kelab itu sehingga ke peringkat Eropah selain mempertahankan kemenangan mereka di peringkat domestik. - Metro.co.uk