ALEXIS Sanchez dan Paul Pogba antara pemain yang akan dipotong gaji dalam jumlah yang besar jika mereka masih kekal bersama Manchester United pada musim panas ini. Kedua-dua pemain bintang itu diturunkan ketika terikat seri 1-1 dengan Huddersfield pada Ahad lalu. Keputusan seri itu menyebabkan Red Devils terlepas saingan Liga Juara-Juara musim depan. Menurut Football Leaks, kontrak kedua-dua pemain itu termasuk klausa potongan gaji boleh terpakai sekiranya mereka gagal menyerlah pada kempen Liga Juara-Juara musim ini. Kontrak Pogba termasuk bonus insentif dan dia bakal kehilangan 1.8 juta pound sterling dengan United dijangka menamatkan saingan di tempat keenam atau kelima pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini. Difahamkan hak nilai komersial Pogba akan merosot kepada 2.87 juta pound sterling berbanding 3.125 juta pound sterling yang diperolehinya ketika beraksi pada Liga Juara-Juara. United terpaksa beraksi di pentas Liga Europa musim depan. Selain Pogba, nasib sama turut menimpa Sanchez. Gaji Sanchez pula dilaporkan akan diturunkan kepada 375,000 pound sterling seminggu musim depan. Kedua-dua pemain itu dikaitkan akan meninggalkan Old Trafford dengan Pogba terdesak untuk menyertai Real Madrid. - Metro.co.uk