suria

Pahang, Kedah layak ke separuh akhir Piala FA

Pemain Pahang Mohamad Faisal Abdul Halim (depan, kiri) meraikan jaringannya pada aksi perlawanan bola sepak Piala FA menentang Terengganu FC di Stadium Darul Makmur malam Jumaat. fotoBERNAMA

JUARA bertahan, Pahang dan Kedah mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala FA selepas berakhirnya aksi suku akhir kedua di tempat sendiri, malam Jumaat.

Pahang yang merupakan juara tiga kali Piala FA, menang 4-0 ke atas Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Makmur, Kuantan, sekali gus mara dengan keputusan agregat 5-2.

Untuk rekod, TFC sebelum ini mengalahkan Pahang 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 1 Mei lepas.

Pada aksi di Kuantan, Faisal Abdul Halim meletakkan skuad Tok Gajah di hadapan pada minit ketujuh selepas menyambar bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol TFC, Suffian Abdul Rahman.

Penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme menggandakan kedudukan untuk Pahang pada minit ke-48 setelah beliau menyempurnakan sepakan penalti sebelum meledak gol peribadi kedua pada minit ke-62 setelah memanfaatkan hantaran daripada rakan sepasukan.

Pemain naturalisasi kebangsaan, Mohamadou Sumareh mengesahkan tiket separuh akhir untuk skuad Tok Gajah setelah menjaringkan gol keempat pada minit ke-74.

Dalam pada itu, juara empat kali, Kedah mengiringi Pahang ke separuh akhir dengan agregat 4-2 selepas terikat 1-1 dengan PKNS FC pada aksi kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Untuk rekod, Kedah menang selesa 3-1 ke atas PKNS FC pada aksi suku akhir pertama pada 30 April lepas di Stadium Shah Alam.

Pada aksi di Alor Setar, Jonatan Bauman meletakkan skuad Lang Merah di hadapan pada minit ke-16 menerusi tolakan mudah, hasil hantaran rakan sepasukan, sebelum PKNS FC kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-31 hasil gol sendiri pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof. - BERNAMA

Piala FA, Pahang, Kedah, separuh akhir

Artikel Lain