suria

Masca optimis mahu jadikan acara kanu sebagai sukan teras

Masca optimis mahu melihat acara kanu tersenarai dalam sukan teras.

PERSATUAN Kanu Malaysia (Masca) berharap acara sukan itu akan memjadi salah satu sukan teras pada masa depan sekali gus melonjakkan semangat atlet untuk meraih keputusan lebih baik.

Presiden Masca, Datuk Seri D Megat Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya optimis ia akan menjadi kenyataan dengan syarat barisan atletnya perlu mempamerkan prestasi cemerlang dalam setiap kejohanan yang disertai.

"Daripada situ, ia diharap dapat membuka mata pelbagai pihak termasuk MSN (Majlis Sukan Negara) yang mungkin boleh mempertimbangkan untuk mengiktiraf sukan kanu sebagai sukan teras.

"Saya juga sedang berusaha untuk menjadikan Masca sebagai salah satu persatuan sukan yang bernaung di bawah MOM (Majlis Olimpik Malaysia).

Skuad kanu negara meraih pingat perak pada satu kejohanan di India baru-baru ini.

"Selama ini sukan kanu dilihat lebih gemar bergerak sendiri dan berada di dalam kumpulan mereka saja.

"Tetapi di bawah kepimpinan baru, saya mahu atet kanu lebih menyerlah," katanya.

Dalam usaha untuk menjadi acara sukan yang cemerlang, Masca sudah meraih beberapa keputusan positif dalam acara yang disertainya termasuk meraih satu perak dan gangsa pada kejohanan Kanu Sprint Antarabangsa di Bhopal, India, baru-baru ini.

Kemuncak kepada semua itu adalah penyertaan pada temasya Sukan SEA di Manila hujung tahun ini.

"Saya mahu memberi banyak pendedahan kepada setiap atlet negara.

"Walaupun hampir kebanyakannya menggunakan poket sendiri ketika ini, saya harap setiap atlet dapat membuktikan sesuatu dan membuka mata banyak pihak selepas ini," katanya.

Kanu, sukan teras, India, Megat Shahriman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain