LIVERPOOL dan Manchester United masing-masing cuba memancing khidmat kapten Real Madrid Sergio Ramos. Ramos mempertimbangkan masa depannya bersama Real susulan pertemuan dengan Presiden Florentino Perez awal bulan ini. Menurut laporan Marca, Ramos memberi bayangan bahawa dia tidak pasti sama ada dia akan kekal di Santiago Bernabeu dan percaya perubahan kelab akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Ramos juga kecewa selepas bertengkar dengan Perez di bilik persalinan susulan kekalahan 1-4 di tangan Ajax pada aksi Liga Juara-Juara baru-baru ini. Perez tidak gembira dengan sikap pemain Madrid tetapi Ramos tampil mempertahankan rakan pasukannya. "Saya melakukan apa sahaja demi kelab malah untuk kamu. Anda bayar saya dan saya akan pergi," kata Ramos. Namun laporan AS mendakwa beberapa kelab sedang memantau perkembangan situasi Ramos dengan United dan Liverpool sudah menghubungi ejen pemain berusia 33 tahun itu. Juventus juga menyatakan minat terhadap Ramos selepas memuktamadkan perpindahan Cristiano Ronaldo dari Madrid pada musim panas lalu. - Metro.co.uk