KERINGAT atlet veteran negara ini masih diperlukan menjelang temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina, November ini. Penembak elit negara, Nur Suryani Mohd Taibi yang kini berusia 36 tahun mengakui akan terus beraksi selagi khidmatnaya diperlukan. Walaupun sedar persaingan semakin sengit, atlet kelahiran Perak ini tetap berpegang kepada kata-kata percayakan diri sendiri. "Latihan bermula Mac lalu dan persiapan kali ini lebih 'upgrade' berbanding dua tahun lalu. "Kami lebih terdedah dengan bantuan sains sukan dan ia dapat meningkatkan prestasi semasa. "Apa yang saya fikirkan sekarang adalah memberi perhatian 100 peratus," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Bukit Jalil. Keringat Nur Suryani masih ditagih dalam skuad negara. Sebagai pemain senior, atlet Sukan Olimpik ini mengakui dia perlu berusaha untuk menjadikan kedudukan dengan pemain-pemain lain lebih seimbang. "Kita ramai atlet-atlet yang mantap. Jadi apa yang saya buat adalah tinggalkan mereka sedikit di belakang kerana pengalaman adalah 'cikgu' terbaik saya untuk meneruskan tugas ini dan paling penting adalah percayakan pada diri sendiri. "Mengenai saingan dengan pasukan negara lain, apa yang boleh saya katakan kita sedikit 'terbelakang' terutama daripada segi teknologi dan banyak tidak menyertai aksi di luar negara," katanya. Pengalaman adalah guru buat Nur Suryani. Nur Suryani juga menyenaraikan Singapura, Thailand dan Vietnam kini sudah boleh beat pasukan negara. "Di Jerman terdapat sebuah sekolah khas untuk mengajar lebih terperinci mengenai teknologi terkini untuk evolusi posisi senjata terkini. "Tetapi itu semua bukan halangan untuk kita cuba mengejar dengan apa yang ada kerana tiada yang mustahil," jelasnya. Mengenai penampilan yang ke-10 kejohanan dwitahunan ini, Nur Suryani berkata dia akan cuba memberikan yang terbaik. "Tahun ni hanya sekali sahaja keluar ketika aksi Piala Dunia di Beijing (April) dan tidak ada apa-apa kejohanan lokal. Jadi saya hanya berharap akan cuma deliver yang terbaik nanti. "Tahun ini merupakan kali kesepuluh itu pun jika terpilih dalam senarai akhir mewakili negara, dan saya cuba yang terbaik selepas edisi KL2017 lalu meraih pingat perak acara rifle 50meter," katanya. Nur Suryani pernah merangkul dua pingat emas pada edisi 2011 di Palembang dalam acara 10 meter dan 50 m rifle. Sukan SEA 2019 bakal berlangsung di Filipina bermula 30 November hingga 11 Disember ini.