PRESIDEN La Liga, Javier Tebas berharap Neymar tidak akan kembali ke Barcelona musim baharu nanti. Tebas berkata, sikap Neymar yang mahu kembali ke liga gergasi Sepanyol ini tidak baik untuk persaingan. Bintang Brazil itu dikaitkan akan kembali ke Nou Camp musim depan berikutan laporan mengatakan dia tidak gembira berada di Paris Saint-Germain (PSG). Neymar yang meninggalkan Sepanyol dan berpindah liga Perancis dengan nilai 198 juta paun dua tahun lalu dilihat terdesak untuk menyarung kembali ke kelab yang pernah menjulang namanya pada musim 2013-1017. Bagaimana pun keinginannya untuk kembali ke Barcelona tidak menarik minat semua orang di Sepanyol. "Saya lebih suka kalau Neymar tidak kembali ke Barcelona. "Kami sentiasa ingin membawa pemain-pemain hebat, tetapi dalam kes Neymar, sikapnya tidak begitu baik untuk persaingan kerana pada akhir cerita berita akan menilai sama ada pemain ini sudah buat itu dan ini. "Kami telah bekerja kuat kerana mahu mengekalkan nilai La Liga dan tidak mahu mengubah imejnya," jelas Tebas. Tebas mengakui dia amat berminat dengan bakat Neymar di padang tetapi mahu seseorang itu mewakili La Liga hingga ke peringkat global. -Dailymail.co.uk