PASUKAN Bravo dan KL Barbarians masing-masing menyambar slot lelaki dan wanita untuk ke Sukan SEA Filipina 2019 selepas mengungguli sesi akhir pemilihan pasukan kebangsaan bagi acara lumba bot tradisional (TBR). Dalam kategori lelaki, Bravo dari Putrajaya mengejutkan Pacific West dengan kepantasan masa 2 minit 10.19 saat(s) untuk tiba terlebih dulu di garisan penamat berbanding pencabar dari Pulau Pinang itu yang mencatat 2:11.22s. Catatan masa Bravo dalam aksi di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang itu juga jelas sebagai isyarat awal betapa skuad TBR negara mempunyai peluang cerah untuk memenangi pingat di Filipina nanti. Pengurus pasukan Bravo, Muhammad Asirullah Kamar, berkata keyakinannya itu bersandarkan terhadap catatan masa anggota pasukannya itu yang jauh lebih baik daripada pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Taiwan. "Ia kejayaan yang amat bermakna kerana kami berjaya mencatat masa 2 minit 10 saat,Taiwan yang memenangi pingat emas Sukan Asia pun hanya mencatat 2 minit 11 saat. "Jadi, bersandarkan pada keputusan itu saya yakin kami mempunyai peluang memenangi pingat di Sukan SEA nanti, tapi ianya bergantung pada latihan kami. "Kelajuan angin di Empangan Teluk Bahang (Sabtu) juga menjadi antara faktor lain mengapa kami berjaya memperbaharui catatan masa kami," katanya. Terdahulu, Bravo dan Pacific West terpilih berentap di sesi pemilihan akhir kelmarin selepas meraih dua tempat terbaik dalam sesi pemilihan pertama di Tasik Putrajaya,April lalu. Bagaimanapun, hanya satu pasukan terbaik akan dibawa ke temasya dwi-tahunan di Filipina nanti ketika pasukan yang tumpas diberi peluang kedua beraksi dalam Piala Dunia di Ningbao, November nanti. Dalam pada itu, KL Barbarians menepati ramalan bagi kategori wanita meskipun mendapat tentangan sengit pasukan Johor Gemilang. KL Barbarians mencatat 1:09.56s berbanding Johor Gemilang 1:10.53s dalam saingan mendebarkan itu yang hanya diadakan bagi mencari wakil negara ke Sukan SEA hujung November ini nanti. Kemenangan itu juga membolehkan kedua-dua pasukan tersebut berpeluang mengikuti program latihan yang lebih rapi di bawah pemantauan Persatuan Kanu Malaysia (Masca) termasuk mendapat tunjuk ajar pengarah teknikal yang dibawa khas dariChina, Lu Changsong.