suria

Kamarul Ariffin sahut cabaran dilantik pengurus pasukan B-19

Kamarul (gambar kecil) memulakan tugas baharu sebagai pengurus pasukan Bawah 19 Tahun Negara berkuat kuasa pada Rabu.

PENGURUS bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar dilantik bagi mengisi jawatan sama untuk pasukan Bawah 19 Tahun (B-19) negara bagi menggantikan Datuk Ab Ghani Hassan.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.

Kamarul Ariffin ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada presiden FAM kerana memberi kepercayaan untuk beliau menguruskan pasukan B-19 negara yang dianggap mencabar selepas kejayaan skuad berkenaan tahun lalu.

Katanya, pengalaman dalam pengurusan terutama pasukan bola sepak pantai ketika Sukan Malaysia (Sukma) Pahang yang meraih emas pada 2013 kemungkinan antara faktor presiden memilih beliau untuk jawatan itu.

Selain itu, beliau juga membantu membawa PDRM dari tangga tercorot sehingga ke kedudukan terbaik Liga Premier.

"Segala keringat yang ada akan digunakan untuk mengurus skuad permata ketiga negara ini.

"Bagi saya ruang untuk bertemu barisan kejurulatihan dan langkah-langkah seterusnya akan dimaklumkan kepada media kelak," jelasnya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari presiden FAM bersama media, Khamis.

Dalam pada itu, Kamarul turut mengulas mengenai misi terakhir pasukan PDRM dalam merebut slot layak ke Liga Super musim depan.

"Perlawanan terakhir Liga Premier Sabtu ini bertemu Pulau Pinang adalah aksi kemenangan.

"Tidak ada istilah kalah atau seri. Kami inginkan kemenangan. Semalam (Rabu) saya juga bertemu dengan pemain-pemain dan mereka dalam situasi ingin menang untuk layak ke Liga Super.

"Malah kejayaan itu nanti bakal menjadi lipatan sejarah buat mereka selepas bekerja keras dari kedudukan terbawah sebelum ini.

Sebagai rekod, pendahulu Liga Premier Sabah sudah mengesahkan layak ke Liga Super musim depan manakala Johor Darul Ta'zim II (JDT II) berada di kedudukan kedua di hadapan PDRM.

Bagaimana pun JDT II tidak layak ke Liga Super berikuta ia adalah feeder club untuk JDT.

Oleh yang demikian, PDRM secara automatik berada di tangga kedua dan layak ke Liga Super sekiranya menang ke atas Pulau Pinang.

PDRM kini mengutip 30 mata, manakala UiTM cuba mengejar rapat dengan berada ditangga keempat dengan 28 mata dan bakal bertemu Negeri Sembilan Sabtu ini.

Datuk Kamarul Ariffin, B-19, FAM

Artikel Lain