suria

Tiada kelibat Alves pada final Piala FA, digantung ikut kod tatatertib FAM

Alves terlepas aksi final Piala FA Sabtu ini.

BERITA kurang menggembirakan buat penyokong Kedah apabila salah seorang tonggak utamanya, Renan Alves tidak dapat beraksi di pentas final Piala FA, Sabtu ini.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pemain import Kedah itu digantung satu perlawanan mengikut ketetapan Kod Tatatertib FAM, sekali gus tidak boleh beraksi pada Final Shopee Piala FA 2019 menentang Perak di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Surat hukuman berkenaan telah dikeluarkan secara rasmi oleh FAM pada Selasa selepas Alves dilayangkan kad kuning kedua, seterusnya kad merah pada perlawanan terakhir Liga Super 2019 bertemu Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada Ahad lalu.

"Mengikut Artikel 40 (2) (a) dalam Kod Tatatertib FAM iaitu berkaitan 'Membawa Ke Hadapan Penggantungan Perlawanan', penggantungan perlawanan yang melibatkan perintah keluar padang ke atas pemain bagi perlawanan terakhir tersebut akan dibawa ke perlawanan rasmi pasukan/kelab yang seterusnya.

"Untuk itu, perlawanan rasmi seterusnya bagi pasukan Kedah selepas aksi bertemu Felda United itu adalah Final Shopee Piala FA 2019 bertemu Perak pada Sabtu ini, dan bukannya perlawanan pertama Piala Malaysia 2019 pada Ogos depan," jelas Satiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataan pada Khamis.

Stuart juga memberitahu, tiada langsung isu berlakunya kekeliruan atau salah tafsir terhadap terma 'perlawanan seterusnya' yang diguna pakai dalam Kod Tatatertib FAM itu yang mana sememangnya Alves perlu serta merta menjalani penggantungan satu perlawanan pada aksi Sabtu ini tanpa perlu sebarang penangguhan, pengecualian atau keistimewaan.

"Jika ingin dibuat perbandingan, situasi ini pernah juga berlaku atau dialami beberapa pemain lain yang terlepas aksi final disebabkan kad merah diterima mereka pada perlawanan liga.

"Antaranya seperti pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak yang terlepas untuk beraksi pada Final Piala FA 2013 menentang Kelantan selepas digantung dua perlawanan kerana kad merah diterimanya ketika perlawanan Liga Super 2013 bertemu Lions XII, seminggu sebelum aksi final itu.

"Rayuannya telah ditolak oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM," katanya.

Selain itu, katanya, pemain Liverpool, Luis Garcia dan pemain West Ham, Hayden Mullins juga terlepas untuk beraksi pada Final Piala FA 2006 selepas digantung tiga perlawanan akibat kad merah diterima mereka pada perlawanan Liga Perdana Inggeris.

"Biarpun telah menjalani dua penggantungan pada perlawanan liga, mereka tetap perlu menjalani penggantungan perlawanan ketiga pada aksi final berkenaan. Rayuan kedua-dua pemain untuk beraksi pada final itu telah ditolak.

"Ini menunjukkan bahawa situasi seperti ini tidak hanya berlaku di Malaysia, malah di saingan liga-liga lain di seluruh dunia," jelasnya.

Tambah Stuart, FAM berharap semua pasukan meneliti dan memahami peraturan dan kod tatatertib yang telah ditetapkan supaya semua pihak terutama penyokong tidak dikelirukan dengan maklumat yang salah dan andaian yang tidak tepat terhadap sesuatu keputusan atau tindakan tatatertib yang dibuat itu.

"Bagi FAM sendiri, kita sememangnya mahu semua pemain-pemain utama kedua-dua pasukan dapat turun beraksi pada Final Shopee Piala FA 2019, Sabtu ini, namun terpaksa mengikut peraturan yang telah ditetapkan dalam Kod Tatatertib FAM itu," jelasnya.

Renan Alves, FAM, Kedah

Artikel Lain