suria

Ozil, Kolasinac diserang dua perompak bersenjata, Arsenal anggap isu peribadi

Dua perompak menggunakan basikal bermotor mendekati Kolasinac.

BINTANG Arsenal terpaksa lari untuk menyelamatkan diri selepas dia dan rakan pasukannya, Sead Kolasinac menjadi mangsa serangan dua lelaki bersenjatakan pisau di London.

Rakaman video turut menyaksikan Kolasinac bersemuka dengan perompak berkenaan yang menggunakan basikal bermotor.

Ozil bersama isterinya Amine dan Kolasinac berada di dalam kenderaan dipandu bintang Jerman itu di Golders Green Road sebelum didekati perompak tersebut.

Ketika pemain kebangsaan Jerman itu menghentikan kenderaannya, perompak terbabit cuba memecah tingkap keretanya menggunakan batu yang disimpan di dalam bag galas mereka.

Ozil meninggalkan kenderaannya itu di tengah jalan dan berlari menyelamatkan diri ke sebuah restoran Turki dipanggil Likya.

Ozil bersama isteri berlari ke sebuah restoran Turki untuk menyelamatkan diri.

Pelayan dan chef restoran terbabit datang untuk membantu dan mengusir perompak tersebut.

Pemilik bersama restoran Likya, Yasmin Tahsiner memberitahu Sky News bahawa kedua-dua pemain itu merupakan pelanggan tetap mereka.

Seorang saksi berkata Ozil kelihatan amat takut dan berlari untuk menyelamatkan dirinya.

"Perompak tidak menanggal topi keledar mereka dan berpakaian serba hitam. Mereka tidak takut. Ia amat menakutkan," katanya.

Arsenal bagaimanapun mengesahkan kedua-dua pemain itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kelab itu menganggap insiden tersebut sebagai isu peribadi dan ia tidak menjejaskan sesi latihan pra musim dua pemain tersebut. - Sky News

Artikel Lain