ROMELU Lukaku dilihat meninggalkan padang latihan Manchester United selepas disisihkan daripada skuad jelajah pra musim pasukan itu. Bintang Belgium itu didakwa bakal angkat kaki dari Old Trafford pada musim panas ini selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak berhijrah dari Everton pada 2017. Lukaku tidak lagi menjadi pemain pilihan Ole Gunnar Solskjaer dan dijangka menyertai Inter Milan atau Juventus sebelum kempen musim baharu bermula. Pemain berusia 26 tahun itu dibelenggu kecederaan buku lali ketika menyertai jelajah United ke Australia dan Asia baru-baru ini. Lukaku tidak ikut serta pemain lain berlepas ke Norway. Terbaharu Lukaku tidak menyertai rakan pasukannya terbang ke Norway pagi Isnin menjelang pertemuan dengan Kristiansund. Lukaku tiba di Carrington bersama dengan pemain lain tetapi tidak ikut serta menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Manchester. Sebaliknya dia dilihat memandu keluar dari pusat latihan itu bersendirian sekali gus menguatkan spekulasi dia akan meninggalkan Red Devils. Difahamkan Solskjaer memberikan tempoh sehingga Khamis ini kepada Lukaku untuk memuktamadkan perpindahannya walaupun United sudah menolak tawaran bernilai 54 juta pound sterling dari Inter Milan. - Express.co.uk